SEMUA sedia maklum Ummul Mukminin Aishah binti Abu Bakar r.a. pernah difitnah oleh golongan munafik Madinah. Fitnah ini berlanjutan selama hampir sebulan dan meresahkan keluarga Rasulullah SAW. Ia seperti ombak ganas yang merempuh tanpa belas kasihan.
Ketika keadaan semakin meruncing, Allah menurunkan ayat daripada surah al-Nur yang membersihkan nama Aishah dan Safwan bin Mu’attal r.a. secara mutlak. Apa yang lebih penting di sebalik kisah ini ialah etika dan panduan menguruskan maklumat yang diterima.
Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana, walaupun panduan ini turunnya kira-kira 1,400 tahun dahulu, prinsipnya merentas zaman. Bahkan panduan ini sungguh relevan dengan zaman kita. Berikut adalah “empat panduan” yang diresepikan Allah daripada kisah tersebut:
1. Berbaik sangka terhadap sebarang berita “busuk” yang diterima.
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri. Dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata,” (al-Nur [24:12]).
Dalam firman lain, Allah menegaskan sangkaan adalah lubuk dosa yang sangat bahaya:
“Wahai orang yang beriman! jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa,” (al-Hujurat [49:12]).
2. Selidik dan pastikan mempunyai bukti sah menurut agama dan bebas daripada kemungkinan ciptaan tangan jahat manusia yang mahir berdusta menggunakan pelbagai teknologi moden. Tanpa bukti yang sah, kita sepatutnya mengabaikan sebarang tuduhan.
“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta,” (al-Nur [24:13]).
3. Timbang dengan neraca agama dan akal, adakah ia perlu disebarkan jika terbukti benar sekalipun. Jika melibatkan aib saudara Muslim kita usah sebar. Bukan semua yang benar boleh disebarkan. Usah bertindak seperti sang malaikat pencatat dosa yang tugasnya melihat keburukan orang lain. Fikir dulu dosa sendiri yang belum tentu mampu ditanggung sebelum sibuk menilai orang lain.
Lihat penegasan Allah dalam ayat ini:
“Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkata hal ini! Maha Suci Engkau (Ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan,” (al-Nur [24:16]).
4. Jangan jadi ejen syaitan merosakkan keharmonian masyarakat dengan menyebarkan berita aib tanpa keperluan mendesak. Dalam kisah fitnah Aishah r.a., Allah menegur keras umat Islam agar tidak bersekongkol mengikut jejak langkah syaitan:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan (dalam penyebaran berita palsu); dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan mungkar.“Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tiada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui,” (al-Nur [24:21]).
Hujung ayat (ayat 21) sangat jelas menyatakan pematuhan kepada panduan al-Quran akan menyelamat kita semua daripada dosa di atas.
Kisah fitnah Aishah r.a. memang perit untuk dibayangkan, tapi hikmahnya sangat besar. Allah langsung menurunkan ayat membersihkan nama beliau dan memberi panduan kepada umat Islam sehingga kiamat agar selamat daripada fitnah ini.
Sumber: Utusan