Pakatan Harapan Jangan "Bajet Baik"

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyindir pemimpin Pakatan Harapan yang "bersungguh-sungguh" mahu PAS kembali bekerjasama dengan mereka sebagai golongan yang "bajet baik".

Beliau dalam sindiran itu mempertikaikan kesediaan Pakatan Harapan memahami konsep "bersetuju untuk tidak bersetuju" dengan PAS jika kerjasama itu berlaku lagi.

“Semua setuju nak berunding. Ada ke parti yang "bersetuju untuk tidak bersetuju"? Kalau tak ada, kira mulut manis saja. Bajet baik,” sindir beliau dalam satu kenyataan.

Nik Mohamad Abduh menegaskan, PAS kekal istiqamah dan mana-mana pihak yang menghalang Islam adalah musuh Islam.

“Islam berkata, semua yang menghalang Islam adalah musuh Islam. Di situ PAS berdiri sejahtera tanpa takut, tanpa hina dan tanpa sedih,” tegasnya.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan terutama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak kelmarin bersungguh-sungguh memujuk PAS supaya kembali menjalin bekerjasama.

Ia ekoran kenyataan peribadi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diketahui ramai pro-Pakatan Harapan beberapa hari lalu menyeru PAS kembali bekerjasama dengan DAP, PKR serta Parti Amanah Negara (PAN).

Malah, Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS melupakan segala perbuatan, penghinaan dan fitnah yang pernah dilemparkan DAP,PKR, PAN dan Mahathir ke atas parti itu.

Beliau turut memujuk seluruh pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya menghormati sebarang perbezaan dengan DAP dan PKR dalam isu akidah Islam sebagai langkah berkompromi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudian mengeluarkan kenyataan membayangkan PAS sama sekali tidak akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Abdul Hadi menegaskan tidak akan ada sebarang tawar menawar dalam perkara membabitkan akidah Islam. –Kedahnews.com