PAN Dakwa PAS Terperangkap Dalam Mainan Politik Sendiri

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Che Ibrahim Mohamad.
KOTA BHARU - "Pas sebenarnya terperangkap dengan mainan politik ciptaan mereka sendiri apabila gagal memanfaatkan peluang diberikan Speaker Dewan Rakyat untuk membentang satu notis usul bagi meminda Akta 355," kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Che Ibrahim Mohamad.

Che Ibrahim berkata, sepatutnya peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang untuk mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) Akta 355 dengan menghuraikan tujuan dan punca akta itu perlu dipinda.

“Malangnya Tuan Guru Haji Hadi sekadar membaca usul tersebut tanpa menyatakan tujuan dan sebab ia dikemukakan. Kesilapan ini menyebabkan ahli parlimen lain tidak tahu tujuan sebenar ia dikemukakan sebelum dibahaskan dalam persidangan akan datang.

“RUU Akta 355 sebenarnya tidak ada kaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 yang diluluskan dalam Dun Kelantan pada 19 Mac 2015 dan diuar-uarkan akan dikuatkuasa menjelang penghujung tahun lalu,” katanya di sini, kelmarin.

Che Ibrahim mengulas kesediaan Pas untuk membahaskan RUU pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat Oktober ini.

Beliau memberitahu, jika cadangan pindaan melalui RUU Akta 355 ini diluluskan oleh Parlimen, mahkamah syariah hanya berkuasa menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang Islam bagi kesalahan-kesalahan yang sedia ada dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 sahaja.

“Adapun kesalahan-kesalahan hudud dan qisas sebagaimana diperuntukkan dalam KJSII (1993) pindaan 2015 tetap tidak dapat dikuatkuasakan kerana di luar bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya.

Che Ibrahim berkata, isu pelaksanaan hukum hudud seperti diuar-uarkan selepas pasca pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya gimik politik untuk menaikkan semula pengaruh Pas yang semakin malap selepas ketiadaan pemimpin berkenaan, selain kegagalan pimpinan baharu Pas Kelantan dalam urus tadbir kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Che Ibrahim berkata, beliau yakin Pas sendiri tidak bersedia melaksanakan hukum hudud bukan sahaja kerana halangan dan sekatan perundangan, sebaliknya dari beberapa aspek lain.

“Misalnya dari sudut kemampuan kerajaan negeri sendiri yang dilihat tidak benar-benar serius untuk melaksanakannya, kerana selain meluluskan KJS II (1993) pindaan 2015, tidak ada apa-apa persiapan dan usaha yang jelas berkaitan pelaksanaan hukum hudud disediakan kerajaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian