PAN Pasti Bertanding PRN Pulau Pinang – Khalid Samad


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) yakin parti itu berpeluang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) awal Pulau Pinang walaupun mungkin sekadar mencapai kemenangan tipis.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad mendakwa kononnya kekalahan calon PAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana masih ramai tidak tahu tentang kewujudan PAN.

“PAN tidak memiliki kerusi di DUN Pulau Pinang setakat ini. Oleh itu tidak timbul isu PAN akan kehilangan kerusi kalau berlakunya pilihan raya. Sebaliknya PAN berpeluang menang walaupun mungkin tipis.

“Dengan kata lain, PAN bagaikan “nothing to lose and everything to gain” dalam pilihan raya nanti. Atas sebab itu tidak ada keperluan bagi PAN membantah cadangan PRN Pulau Pinang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Pemimpin DAP dan PKR bertelagah sejak DAP bercadang mengadakan PRN Pulau Pinang lebih awal berikutan kes rasuah dan salah guna kuasa yang sedang dihadapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berasa khuatir PAN mahu bertanding di negeri itu sekali gus menyebabkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS.

Pendirian PKR itu mengundang kemarahan DAP yang menyifatkan PKR `ibarat kacang lupakan kulit’ kerana DAP sentiasa membantu PKR sewaktu dalam kesukaran.

Ketua Biro Undang-Undang PKR, Latheefa Koya bagaimanapun membidas dengan mengungkit DAP yang menyebabkan PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang kerana membubarkan Pakatan Rakyat tanpa persetujuan PKR.

DAP bagaimanapun mengingatkan bahawa PKR turut bersama-sama dalam rancangan menyingkirkan PAS malah mewujudkan gabungan baharu parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan yang turut dianggotai PAN. –Kedahnews.com