PAS Pulau Pinang Cerita Betapa Angkuhnya Guan Eng

Afnan Hamimi Taib Azamuddin
KUALA LUMPUR – PAS Pulau Pinang menyifatkan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang dialami oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuktikan perbezaan politik berlandaskan prinsip Islam PAS dengan politik berlandaskan kuasa akal DAP.

Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, politik berlandaskan kuasa akal DAP terbukti bergelumang dengan nafsu serakah dan tamakkan kuasa.

“Akal menilai bahawa PAS akan rugi dan musnah dengan pendekatan berprinsip begini. Kepada yang bertuhankan akal, silakan dengan telahan yang kononnya bijak tinggi melangit.

“Namun sejarah dan pengalaman membuktikan bahawa yang berprinsip pasti menang yang bertuhankan akal tersungkur ke bumi,” tegasnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Afnan Hamimi dalam kenyataan itu turut mendedahkan sikap sebenar Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang angkuh dan bongkak dalam mentadbir kerajaan negeri itu.

Menurutnya, Guan Eng pernah memecat wakil PAS yang menjadi Ahli Majlis Pulau Pinang hanya kerana membantah pembangunan tanah yang dilihat menindas rakyat.

Kata beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang turut bertindak melantik secara terus ahli-ahli PAS Pulau Pinang dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tanpa melalui PAS.

“PAS menyuarakan hal itu dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dipengerusikan Guan Eng namun apabila perbincangan mengenai isu JKKK ini diutarakan, LGE bertindak keluar mesyuarat bersama semua wakil DAP yang hadir.

“PAS menghadapinya dengan penuh berhemah, tidak mensensasikannya sebagai peluru yang menyerang rakan kerana menjaga hubungan sebagai kawan (dalam Pakatan Rakyat),” katanya.

Beliau turut mendedahkan kerajaan DAP Pulau Pinang menawarkan kemudahan dan peruntukkan kepada ahli PAS yang menerima jawatan sebagai JKKK memandangkan PAS mengarahkan semua ahlinya meletak jawatan itu selepas membatalkan kerjasama dengan DAP.

“Walaupun demikian PAS diperlakukan di Pulau Pinang, diserang bertubi-tubi oleh Guan Eng dan sekutunya (Pakatan Harapan), PAS tetap berpegang kepada prinsip keadilan politik Islam iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya. –Kedahnews.com