PAS Tak Ganggu DAP, DAP Yang Ganggu PAS - Abdul Hadi


ALOR SETAR - PAS menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menggangu dasar yang diperjuangkan DAP sebelum ini, namun sebaliknya bekas parti sekutunya itulah yang sering mengganggu dasar perjuangan PAS di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti pimpinannya sentiasa konsisten dengan dasar yang diperjuangkan PAS dan kini sedang memperkukuh kedudukannya sebagai blok ketiga di persada politik negara bersama sebuah parti sekutu.

"Kita (PAS) tidak ganggu dasar yang dibawa DAP dan mereka yang ganggu dasar PAS, kita bertegas dengan perkara ini dan akhirnya mereka (DAP) keluar daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.  

"PAS hari ini terus konsisten dengan dasar yang diperjuangkan sejak dahulu lagi. Blok ketiga yang diwujudkan oleh PAS, telah berkerjasama dengan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik," tegas Abdul Hadi dalam sidang media di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, semalam. 

Difahamkan PAS "terpaksa" mengorbankan dasar perjuangan tradisinya berkenaan perlaksanaan hukum hudud dan turut mengubah perjuangan menubuhkan "negara Islam" kepada "negara kebajikan" ketika bersama DAP dan PKR sebelum ini.

Perubahan tersebut dikatakan telah mencetus kemarahan dan rasa tidak puas hati ramai di kalangan pendokong PAS khususnya golongan ulama, namun kepimpinan ketika itu menjaja terma "tahaluf siyasi" bagi meredakan keadaan.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan bahawa parti baru yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu memperjuangkan Islam dan tidak lari dari matlamat sekiranya berhasrat untuk bekerjasama dengan PAS.

Mahathir sebelum ini memilih untuk menyokong parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sekaligus membayangkan kecenderungan bekas Perdana Menteri itu tidak kepada PAS.


PAS sebelum itu menegaskan pendiriannya tidak menyokong 'Deklarasi Mahathir-Kit Siang' dan mendakwa tindakan Mahathir cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak demokrasi dan mempunyai agenda kepentingan peribadi.

Mahathir sebelum ini turut menolak usaha PAS melaksanakan hudud di negeri Kelantan dan Terengganu sewaktu menjadi Perdana Menteri, bertentangan dengan pendekatan Najib yang mengalu-alukan dan menyediakan platform bagi kajian bersama untuk merealisasikan perlaksanaan hukum Allah itu.

Sehingga kini, tiada pemimpin PAS yang sudi memberi sokongan untuk hadir ke program atau majlis anjuran Mahathir dan sekutunya yang terdiri dari DAP, PKR dan PAN, kecuali Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. -Kedahnews.com