Malangnya, umat Islam dan orang Melayu di negara ini terlalu membuka banyak ruang sehinggakan pihak lain semakin berani mengganggu privacy mereka. Daripada rungutan terbuka terhadap laungan azan, terdengar pula kritikan terhadap isi kandungan khutbah Jumaat dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini ada yang menganggap amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah.
Demikian kemaruknya sesetengah pihak cuba membina sistem berpolitik ala perpecahan di negara ini. Satu hal yang cukup membimbangkan dan meresahkan. Kecenderungan ini jika tidak dibendung akan menemui penghujung yang menghuru-harakan negara. Berpolitik sepatutnya mencari kejernihan dan kesejahteraan untuk semua. Tidak sepatutnya mencetuskan gangguan emosi mana-mana pihak. Dan tidak juga menebarkan unsur-unsur provokatif yang boleh menyakiti hati mana-mana kelompok masyarakat.
Pandangan sesetengah pihak ada benarnya. Jika pun tidak sehaluan dengan kerajaan atau pemimpin, guna cara atau pendekatan yang lebih demokratik dan beretika untuk menyatakan protes atau meluahkan bantahan. Tetapi jangan sampai ‘menjentik’ sensitiviti kaum dan penganut agama lain.
Perkara mengenai azan, khutbah dan duit raya bukan suatu perkara baharu bagi masyarakat Islam dan rakyat Malaysia secara umumnya. Tiada yang pelik dan janggal. Sudah beberapa generasi penghuni di tanah air ini mengetahui dan menerima tiga perkara tersebut.
Senario yang berlaku sebenarnya memberi isyarat jelas bahawa umat Islam di negara ini tidak ada pilihan melainkan bersatu. Mereka perlu bersatu untuk membina kekuatan. Tetapi kekuatan bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa. Jauh sekali untuk bangkit bertelagah atau berperang dengan mana-mana pihak.
Bersatu untuk berpadu. Sesebuah institusi keluarga yang rukun berpadu akan disegani oleh masyarakat sekitarnya. Orang luar tidak akan berani mengusik mana-mana ahli dari keluarga yang disegani, yakni keluarga yang memiliki kekuatan melalui aspek bersatu, memiliki kedudukan ekonomi yang stabil dan memelihara martabat dan peradaban.
Dalam kitab suci al-Quran, surah al-Anfal, ayat 60 menyebut:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya”.
Diterjemahkan secara abstrak, bahawa Islam menuntut umatnya bersatu agar tidak ada pihak yang berani mempersoal, meremeh atau mencampuri hal ehwal kesucian agama itu manakala istilah kekuatan yang perlu dibina, bukan sekadar bersatu padu secara lisan, tetapi mencakupi kekuatan dari segi ekonomi, politik serta nilai-nilai sosial yang luhur.
Umat Islam dan orang Melayu akan terus rugi dan ketinggalan jika menolak kepentingan memajukan diri dan sesama sebangsa, seagama. Kekuatan juga boleh diukur melalui nilai-nilai kehidupan terpuji seperti tekun dan rajin berusaha, mementingkan pemilikan ilmu, kemahiran dan kepakaran, menepati janji dan waktu selain meniti kehidupan dengan sentiasa memikirkan kebajikan dan kebaikan sesama ummah.
Sering dipersoalkan umpamanya, sampai bila umat Islam dan orang Melayu hanya mampu menjadi pengguna bukan pengeluar atau pencipta? Jawapannya terletak pada umat Islam dan orang Melayu sendiri.
Tegasnya, kepentingan membina kekuatan ummah, sebangsa dan seagama adalah suatu keperluan dalam kehidupan masa kini untuk mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pihak lain. Perlu bersedia untuk bersaing secara sihat.
Jika tidak, umat Islam dan orang Melayu sentiasa terdedah untuk mudah diperlekehkan oleh pihak lain. Lalu, tidak tahu berapa banyak lagi hal-hal kemurnian dan eksklusif umat Islam dan orang Melayu berani diganggu dan dipermainkan oleh pihak lain.
Apa pun, bukan semua orang di luar Islam gemar dengan kerenah rakan-rakan seagama mereka bertindak mencampuri hal ehwal penganut Islam. Mereka berpegang kepada sikap saling hormat menghormati dalam konteks kehidupan di Malaysia yang bersifat majmuk.
Ada masyarakat bukan Islam menerima azan sembahyang lima waktu setiap hari sebagai ‘rutin pemakluman’ tentang masa. Umpamanya, kata mereka, azan subuh mampu membangkitkan mereka dari tidur untuk melakukan senaman pagi sebelum ke pejabat.
Azan zuhur dianggap isyarat sudah separuh hari berjalan. Azan asar menandakan waktu untuk siapkan tugas sementara menunggu masa tamat bekerja. Sementara itu, azan maghrib dan Isyak menandakan peredaran hari yang sudah memasuki malam.
Pendek kata, bagi mereka yang berfikiran positif, segalanya akan kelihatan positif.
Perlu apa dipertikai isi kandungan khutbah Jumaat? Segala yang disampaikan khatib adalah untuk kepentingan umat Islam. Mengajak umat bertakwa, bersatu dan memajukan diri dan ummah tentunya bukan untuk menafikan hak orang lain atau sedia bermusuhan dengan pihak lain.
Mereka yang tersinggung dengan kata-kata sinis sesetengah pihak terhadap amalan sedekah duit raya di musim sambutan Hari Raya Aidilfitri tentunya ada asas dan kewajarannya. Apa yang diamalkan itu adalah bersedekah. Dalam Islam bersedekah itu tanda bersyukur dengan nikmat kurniaan Ilahi. Juga tanda ikatan mesra di antara ahli keluarga, masyarakat sekitar atau sesama seagama.
Jumlahnya bukanlah besar. Tetapi tetap bermakna. Mereka yang terlibat kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak atau remaja. Termasuk golongan dewasa yang miskin atau yang uzur. Amalan ini mempunyai nilai semangat ukhuwah dan jalinan silaturahim sesama ummah. Hakikat ini mungkin sukar difahami oleh mereka yang jahil dan tidak mengenali Islam.
Kesimpulannya, bersatulah demi membina kekuatan ummah. Elakkan daripada terperangkap dengan agenda sesetengah pihak yang mahu melihat umat Islam dan orang Melayu bergeseran. Ada kala apa yang dicetuskan sekadar usaha mengalih perhatian agar masyarakat tidak tertumpu melihat kekalutan dalam mana-mana parti politik.
*DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia/Utusan