PBB Kecam Israel Bina Penempatan Di Tebing Barat, Baitulmaqdis


NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pada Isnin mengutuk keputusan Israel untuk mewujudkan kawasan penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta menggesanya membatalkan dengan serta-merta keputusan itu “demi memelihara keamanan dan status keadilan persetujuan akhir yang telah dicapai”.

“Setiausaha agung mengkritik sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Israel untuk meneruskan rancangan membina kira-kira 560 unit rumah di kawasan penempatan Maale Adumim, Tebing Barat dan 240 unit di beberapa kawasan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

“Ini menimbulkan persoalan jelas tentang niat jangka panjang Israel, yang diperkukuhkan lagi oleh kenyataan beberapa menterinya yang menyeru agar lebih banyak tanah dirampas di Tebing Barat.

“Setiausaha agung sangat kecewa kerana pengumuman itu dibuat hanya empat hari selepas Kuartet Timur Tengah menyeru Israel menghentikan dasarnya membina dan meluaskan penempatan, kata kenyataan yang dikeluarkan jurucakap Ban.

Kuartet Timur Tengah itu – Rusia, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan PBB  – mengemukakan syor tersebut dalam laporan mengenai langkah untuk mengatasi halangan terhadap penyelesaian dua negara.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat juga mengesahkan pada Isnin bahawa pada malam sebelumnya, pihak berkuasa Israel merobohkan dua unit kediaman di Kem Pelarian Qalandia di Tebing Barat yang diduduki.

Jurucakap UNRWA, Chris Gunness menyifatkan tindakan itu sebagai suatu bentuk “hukuman secara kolektif yang tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa” kerana “ia mengakibatkan kesusahan dan penderitaan terhadap mereka yang tidak melakukan perbuatan yang membawa kepada tindakan meroboh kediaman itu serta membahayakan manusia dan harta di kawasan berkenaan”.

Menurut diplomat di PBB, rakyat Palestin dan Israel semakin hilang keyakinan terhadap komitmen satu sama lain mengenai kewujudan dua negara secara sebelah menyebelah secara aman, selamat dan saling diiktiraf pada masa akan datang.

“UNRWA mengutuk perbuatan merobohkan tempat kediaman sebagai hukuman  kolektif dan mengingatkan Israel sebagai kuasa yang melakukan pendudukan bahawa menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, ia berkewajipan melindungi manusia yang wilayahnya diduduki dan menyediakan perkhidmatan untuk mereka,” kata Gunness.

Satu daripada syor Kuartet Timur Tengah itu ialah kepimpinan Palestin perlu meneruskan usaha mengukuhkan institusi, menambah baik tadbir urus dan membina ekonomi mapan, manakala Israel pula perlu mengambil segala langkah perlu untuk membolehkan proses itu berjalan lancar, sejajar dengan syor Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc.  – BERNAMA