Pelajar Kolej Swasta Rentung Dalam Nahas Di Plaza Tol


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej swasta rentung apabila kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Plaza Tol Loke Yew menghala ke Pandan Jaya di sini, semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud berkata kejadian berlaku kira-kira 7 pagi selepas pelajar itu Rhaveen a/l Sugumaran, 19, yang sebelum itu menumpangkan ibunya ke Jalan Pantai Baharu, meneruskan perjalanan menuju ke kolejnya di Kuchai Lama.

Katanya pelajar itu yang memandu kereta jenis Nissan Sentra dipercayai berada di laluan kanan plaza tol berkenaan sebelum cuba memotong sebuah kereta untuk ke laluan kiri.

“Mangsa yang gagal memotong kemudiannya melanggar pembahagi laluan konkrit menyebabkan kereta dipandunya itu terbakar serta-merta.

“Mangsa gagal keluar akibat tersepit dan mayatnya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafie berkata mayat Rhaveen dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata semasa anggota bomba tiba kereta berkenaan telah terbakar seluruhnya.

Beliau berkata lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 7 pagi.

“Seorang pemandu telah ditemukan rentung di dalam kenderaannya dan berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian,” katanya. – BERNAMA