Pelajar Libya UUM Disaman Pandu 141 Km/j Di Kawasan 80 Km/j

Gambar Hiasan
ARAU – Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dari Libya disaman malam tadi kerana memandu pada kelajuan 141 kilometer sejam di kawasan yang dihadkan dipandu 80 kilometer sejam.

Dia ditahan dalam OP Selamat yang dilakukan di Kilometer 30, Jalan Changlun-Kuala Perlis.

Menurut Timbalan Komander Subtek Zon Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang), DSP Yazid Kasim yang mengetuai operasi itu, seorang pemandu bas ekspres turut disaman kerana memandu laju.

Pemandu berkenaan memberi alasan dia memandu laju kerana mahu mengangkut penumpang di Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Yazid berkata operasi selama dua jam itu telah menyaman 25 pemandu yang memandu melebihi had laju dan atas kesalahan lain antaranya tidak memakai tali pinggang keledar, cukai jalan tamat tempoh dan lampu brek ketiga tidak berfungsi.

Beliau berkata operasi had laju pada waktu malam akan diteruskan kerana ramai pemandu memandu laju di sebelah malam dan tidak menghiraukan peraturan jalan raya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Perangkaan Jabatan Siasatan dan Trafik Bukit Aman berkata Op Selamat yang dilancarkan seminggu sebelum Aidilfitri berjaya mengurangkan jumlah kemalangan termasuk kes kematian.

“Kita akan mengeluarkan statistik selepas Op Selamat berakhir esok,” katanya. – BERNAMA