Pelakon Veteran Tamam Idris Meninggal Dunia, Al-Fatihah


KUALA LUMPUR - Pelakon veteran, Tamam Idris atau nama sebenarnya Bustamam Idris, 77, meninggal dunia di Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), jam 11.40 malam semalam.

Pelakon itu yang kritikal akibat jangkitan kuman pada paru-paru meninggal dunia dihadapan isteri, Mariaty Husin dan enam anaknya serta menantu.

Menantunya yang juga pelakon, Den Wahab berkata bapa mertuanya tenat selepas berlaku pendarahan di dalam perut sejak kelmarin.

"Bapak mula koma sejak jam 6 petang semalam tetapi ada sedikit perubahan hari ini ketika menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tengah hari semalam.


"Apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya serta berterima kasih kepada masyarakat yang tidak putus-putus mendoakannya sejak dia berada di PPUKM pada 22 Jun lalu, katanya semalam.

Tamam atau mesra disapa Pak Tamam terkenal dengan drama Seorang Tua Di Kaki Gunung dan drama berunsur persilatan sejak era 80-an.

Jenazah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras Kuala Lumpur selepas solat Subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai jam 9 pagi hari ini.

Sumber: BH Online