Pembenihan Awan Di 3 Empangan Kedah Jika 2 Bulan Tak Hujan - Othman Aziz

Datuk Othman Aziz.
ALOR SETAR – Pembenihan awan perlu dilakukan di tiga kawasan empangan di Kedah sekiranya tiada hujan dalam tempoh dua bulan ini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Othman Aziz.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata perkara itu perlu dilakukan berikutan paras air di Empangan Pedu dan Muda kini masing-masing berada pada tahap 33 dan 30 peratus.

“Dalam tempoh dua bulan akan datang, bekalan air untuk kegunaan pertanian sawah padi dan domestik masih cukup dan orang ramai terutamanya petani tidak perlu bimbang.

“Kita mempunyai sumber air di Empangan Ahning pada paras 63 peratus dan ia boleh menampung kegunaan domestik,” katanya pada sidang media sewaktu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADA di Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar, di sini semalam.

Katanya pada musim El-Nino yang berlaku awal tahun lalu, MADA telah melepaskan air ke Empangan Beris yang mengalami kekurangan air bagi menampung kegunaan domestik di kawasan selatan Kedah.

Othman turut meminta pihak berkaitan agar mengawal aktiviti pembalakan di kawasan tadahan hujan dan hutan simpan bagi mengelak berlakunya kesan buruk.

Selain itu, katanya kerajaan negeri dan Persekutuan perlu melakukan perbincangan untuk menambah bilangan loji rawatan air bagi memastikan sumber air mentah dari Empangan MADA tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Kita akan rugi sekiranya sumber air mengalir begitu sahaja ke laut dan tidak digunakan sebaik mungkin. Justeru saya minta pihak berkaitan memperbanyakkan loji rawatan air untuk kegunaan masyarakat setempat, sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air bersih,” katanya. – BERNAMA