Pemimpin Pembangkang Tahu Agenda Mahathir


KUALA LUMPUR – Pembentukan sebuah gabungan parti pembangkang seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak semudah seperti diperkatakan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu tidak mudah kerana semua pihak termasuk pemimpin pembangkang tahu Mahathir menyarankan perkara itu adalah demi memenuhi kepentingan peribadinya.

“Walaupun Mahathir mungkin mengusahakannya sebagai satu skim dalam misi memperjuangkan kedudukan anaknya Datuk Seri Mukhriz dalam carta politik negara, namun itu tidak semudah dijangka.

“Pembangkang mempunyai ketuanya sendiri dan mereka menghidu setiap pergerakan Mahathir yang hingga kini belum mempunyai sebarang platform atau parti sendiri. Pengikutnya juga tak seberapa,” tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Mahathir baru-baru ini mengumumkan akan mewujudkan sebuah parti baharu bagi bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bagi menjatuhkan kerajaan BN.

Beliau berbuat demikian selepas pelbagai usahanya untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk gagal membuahkan hasil.

Mahathir berbuat demikian gara-gara berdendam dengan Najib kerana enggan memenuhi kepentingan peribadinya termasuk dalam isu pembinaaan jambatan bengkok di Johor.

Beliau bertambah marah dengan Najib apabila rancangan untuk menaikkan `orang kanannya’, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak kesampaian. – Kedahnews.com