Pencuri Teruk Dibelasah Orang Ramai Di Sungai Petani

Suspek teruk dibelasah orang ramai di lokasi kejadian
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki berusia 40-an cedera dibelasah orang ramai selepas memecah masuk sebuah kereta yang diletakkan berdekatan sebuah klinik kesihatan, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian, kira-kira jam 11.30 pagi itu, perbuatan suspek yang membuka pintu hadapan sebelah kiri kereta tersebut disedari pemiliknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abdul Hamid berkata, selepas memecah masuk kereta itu, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap orang ramai.

Menurutnya, suspek mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan juga badan selepas dibelasah orang ramai.

“Ketika kejadian, pemilik berusia 51 tahun itu meletakkan keretanya dalam keadaan tidak berkunci.

“Namun ketika suspek memecah masuk keretanya, dia menyedari perbuatan itu dan segera meminta bantuan orang ramai untuk mengejar suspek yang cuba melarikan diri,” katanya.

Katanya, suspek berjaya ditangkap orang ramai dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali bagi tuduhan pertama,” katanya.

Sumber: Sinar Harian