Pengeluaran Durian Di Perak Kurang Menjadi Tahun Ini


LUMUT – Pengeluaran buah durian di Perak tahun ini berkurang disebabkan cuaca panas dam kering pada suku pertama tahun ini, kata Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo.

Beliau berkata pengeluaran buah yang kurang itu menyebabkan harga durian agak mahal mengikut gred tertentu.

“Tahun ini kita boleh lihat tiada lambakan buah durian kerana hasil pengeluarannya kurang dan tidak teratur tetapi harga yang ditetapkan masih boleh diterima iaitu RM5 hingga RM7 bagi durian kampung.

“Musim pengeluaran buah juga agak panjang iaitu dari Jun hingga September dan pengeluarannya di seluruh negara tidak sama masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan FAMA di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Manjung, dekat sini semalam.

Basri berkata, FAMA mempunyai kaedah tertentu bagi mengatasi lambakan buah durian termasuk mengeksport ke luar negara seperti China.

“Buah-buah ini akan dihantar ke pusat pemprosesan isi durian sejuk beku sebagaimana ditetapkan sebelum ia boleh dieksport,” katanya.

Menurut Basri permintaan yang tinggi terhadap Raja Buah itu adakalanya tidak dapat ditampung oleh pembekal sehingga FAMA terpaksa mencari alternatif termasuk melakukan pembiakan klon pokok durian.

“Durian jenis ini tidak mengambil masa terlalu lama untuk menghasilkan buah dan kita harap ia boleh membantu peningkatan hasil buah durian,” katanya.

Penggunaan istilah klon mewakili cara varieti pokok durian dibiakkan iaitu dengan teknik tampang dan setiap hasil adalah unik serta mempunyai ciri-ciri tersendiri sama ada dari segi fizikal atau rasa. – BERNAMA