Penyokong Perancis Lancar Rusuhan Sebab Kalah Euro 2016


KECEWA dengan kekalahan Perancis di kejohanan bola sepak Euro 2016 baru-baru ini, segelintir penyokong tuan rumah telah mencetuskan keadaan huru-hara di Paris.

Rusuhan itu kemudian memaksa campur tangan polis pencegah rusuhan dan mereka terpaksa menggunakan kayu belantan untuk mengawal keadaan.

Dalam kejadian itu, kira-kira 40 orang berjaya diberkas selepas gas pemedih mata dan meriam air digunakan ke atas mereka yang melontar botol ke arah anggota polis di Menara Eiffel.

Bagi penyokong Portugal pula, kemenangan tipis 1-0 itu diraikan dengan gembira dan aman tanpa sebarang kekecohan walaupun ia merupakan kemenangan manis selepas Portugal tumpas di tangan Greece, 12 tahun lalu.

Di Lisbon, ibu kota Portugal, ribuan penduduk membanjiri Lapangan Marques de Pombal dan bersorak serta menari selama beberapa jam menunggu ketibaan pemain kesayangan mereka. –Kedahnews.com