Perak Mahu Bangunkan Kuarters Kerajaan Yang Daif

Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
LUMUT – Kerajaan negeri Perak akan mengenal pasti kuarters kakitangan kerajaan negeri yang daif dan uzur untuk dibangunkan semula, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata ia bagi mengalakkan lebih ramai penjawat awam negeri tinggal di kuarters.

“Ia akan dibina semula dengan model yang indah dan cantik,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan melawat tapak projek pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Lumut Kiri hari ini.

Kuarters itu dibina dengan kos RM24 juta di atas tanah seluas kira-kira satu hektar yang dikhusukan bagi penjawat awam di sekitar daerah Manjung.

Ia dibangunkan di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri mulai Januari lalu dan dijangka siap April tahun depan.

Menurut Zambry, kuarters tersebut akan menempatkan 100 anggota keluarga berbanding model lama yang hanya boleh menampung 10 keluarga.

“Model baharu itu turut menyediakan dewan, surau dan tadika,” katanya. – BERNAMA