Soalan: Mutakhir ini banyak kedengaran rungutan umat Islam mengenai nasib asnaf zakat terutama golongan fakir dan miskin yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Apakah benar dakwaan ini dan apakah peranan zakat dalam mendidik golongan ini?
JAWAPAN:
TIDAK dinafikan bahawa golongan fakir dan miskin termasuk kumpulan paling utama ditentukan Allah SWT untuk menerima pembahagian harta zakat.
“Sesungguhnya sedekah-sedekah itu (zakat) adalah untuk golongan fakir dan miskin,” (at-Taubah: 60)
Ulama Fikah (fuqaha) merumuskan bahawa asnaf fakir dan miskin hendaklah diberikan keutamaan dalam pengagihan wang atau harta zakat. Maka, jika ada dakwaan yang mengatakan fakir dan miskin terabai, hal itu hendaklah disiasat dengan penuh rapi.
Ini kerana mengabaikan golongan fakir dan miskin bererti mengabaikan perintah dan tuntutan Allah SWT. Malah fuqaha menyatakan, seandainya mahu memindahkan wang zakat keluar daerah atau negeri sekali pun, antara syarat utamanya hendaklah dipastikan terlebih dahulu golongan fakir dan miskin di tempat asal telah disantuni secukupnya.
Jika masih ada yang memerlukan, maka adalah ditegah ia disalurkan kepada orang yang berada di luar kawasan daripada mana harta zakat itu diperoleh.
Dalilnya, ketika Nabi Muhammad SAW mengutuskan Sayidina Muadz bin Jabal r.a. ke Yemen, Nabi berpesan kepadanya:
“(Nanti di Yemen) kamu ambillah daripada harta kekayaan mereka (penduduk yang kaya sebagai zakat) dan kamu agihkan kembali kepada orang fakir (dan miskin) dalam kalangan mereka (penduduk Yemen),” - Muttafaqun ‘Alaih
Di samping itu, berdasarkan amalan pengagihan zakat di Selangor, statistik menunjukkan bahawa kumpulan asnaf fakir dan miskin adalah kelompok yang paling banyak menerima agihan zakat saban tahun selain golongan fisabilillah.
Misalnya pada 2013, kumpulan fakir dan miskin mendapat santunan sebanyak RM177.6 juta daripada keseluruhan agihan zakat yang berjumlah RM463.5 juta (38.3 peratus).
KENAPA FISABILILLAH LEBIH TINGGI?
Mungkin ada yang akan bertanya, kenapakah agihan zakat kepada asnaf fisabilillah lebih tinggi berbanding fakir dan miskin? Jawapannya, walaupun asnaf fisabilillah dilihat yang tertinggi, namun asnaf fisabilillah bukanlah agihan kepada individu semata-mata.
Ini kerana bawah asnaf fisabilillah juga melibatkan agihan kepada organisasi dan institusi Islam lain.
Bagaimanapun, biarpun fakir dan miskin merupakan golongan utama dalam menerima agihan zakat, ia bukan bermakna mereka terlepas daripada disiplin, tetapi perlu bersifat amanah dalam memanfaatkan harta zakat. Ini kerana, zakat itu hakikatnya adalah amanah, yang perlu dilestarikan sesuai dengan ketetapan Allah SWT.
Sekiranya pada tangan pemilik harta (muzakki), ia adalah amanah, sampai kepada pihak pengurus zakat (amil) ia tetap amanah dan apabila dipindahkan milik kepada asnaf (mustahiq) terutama fakir dan miskin, ia tetap satu amanah. Mengabaikan amanah dengan menyalahgunakan wang zakat, ia adalah satu dosa yang amat dimurkai Allah SWT.
Mungkin juga ada pihak yang akan bertanya, apakah bentuk-bentuk penyelewengan harta zakat yang boleh berlaku? Banyak, misalnya apabila ia digunakan untuk membeli barangan bukan keperluan asasi, membeli rokok, membeli tiket wayang yang bukan-bukan, membeli nombor ekor dan apa sahaja perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri dan keluarga, maka ia adalah satu perlanggaran amanah harta zakat kepada penerimanya.
Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan:
“Tidak berganjak kaki seorang anak Adam itu pada hari akhirat kelak, sehinggalah ditanyakan kepadanya (antaranya), hartanya daripada mana ia diperoleh dan ke manakah ia dibelanjakan?” - Riwayat Tirmizi
Maka, demi mengelakkan asnaf fakir miskin ini daripada tersalah arah, maka perlulah dilentur hati dan akhlak mereka agar menjadi seorang Muslim yang taat, soleh dan amanah sebagaimana orang-orang Islam yang lain. Di sinilah pihak pengurusan memainkan peranan agar matlamat mendidik dua kumpulan asnaf ini mudah dicapai.
Imam Malik ada menyebut:
“Dalam menyampaikan agihan zakat, maka pihak yang menyalurkannya hendaklah melakukan ijtihad (menilai dan menentukan) apakah bentuk yang sesuai dengan keperluan mereka.” (al-Amwal, Abu Ubaid al-Qassim, hal. 681)
SUNTIK KESEDARAN
Antara langkah yang diambil Zakat Selangor dalam usaha memberi didikan kepada fakir dan miskin ini adalah dengan meminta mereka menghadiri kelas pengajian agama atau mengikuti kursus-kursus bersesuaian yang diadakan.
Penumpuan juga diberikan kepada generasi kedua asnaf yang merupakan anak-anak mereka dengan menyediakan pelan pendidikan lebih komprehensif. Alhamdulillah, setakat ini sudah dilihat kesannya.
Bagaimanapun, usaha yang dilakukan Zakat Selangor mahu pun mana-mana pusat zakat, hanya akan menampakkan hasil sekiranya asnaf itu sendiri berkemahuan untuk mengubah nasib diri mereka.
Perkara ini selari dengan firman Allah SWT yang mengingatkan:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa (keadaan) yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’du: 11)
Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menegur seorang sahabatnya, dengan memerintahkannya mencari kayu api dan menjualnya bagi mendapatkan rezeki dan dengan itu juga, dapat mengelakkan dirinya daripada terus meminta-minta.
Sementara itu, masyarakat juga boleh bersama membantu pusat zakat dalam mendidik golongan asnaf dengan menjadi mata dan telinga serta mata rantai untuk sentiasa memberikan laporan bagi memperbaiki jati diri asnaf. Ini kerana, masyarakat setempat adalah lebih dekat dengan komuniti.
Sebagai contoh, pihak ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh mewujudkan kelas bimbingan khas kepada asnaf, dan memantau kehadiran mereka. Ini kerana, adalah tidak wajar jika pihak asnaf hanya datang menemui AJK masjid khususnya nazir atau pengerusi surau hanya semata-mata untuk mendapatkan pengesahan diri sebagai ahli kariah sahaja.
Usaha memperkasa asnaf fakir dan miskin untuk berdikari adalah tugas yang sangat berat. Ini kerana, Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan, baginda tidak begitu bimbang dengan kemiskinan harta tetapi baginda lebih bimbangkan kemiskinan jiwa.
Sumber: Utusan