Perenang Muslimah Burkini Diharamkan Di Austria, Jerman


WASHINGTON DC – Pakaian renang untuk wanita Muslimah yang dikenali sebagai burkini (sebutan kebetulan hampir sama bagi menyaingi bikini) kini diharamkan di sebuah kolam renang awam di bandar Hainfeld, Austria.

Perintah larangan burkini dilarang konon untuk memastikan kolam renang itu mematuhi peraturan kebersihan setempat, kata anggota parti berhaluan kanan, Freedom Party (FP) yang juga ahli majlis perbandaran, Peter Terzer.

Katanya yang dipetik portal Russia Today dan NÖN.at: “Kami amat puas hati dengan peraturan baru ini. Dengan ini, kami boleh memastikan, tidak ada seorang pun yang memakai burkini boleh masuk ke dalam kolam renang itu.”

Larangan kontroversi tersebut juga mendapat sokongan daripada Datuk Bandar Hainfeld, Albert Pitterle yang dilaporkan portal berkenaan sambil mendakwa keputusan drastik itu tidak sepatutnya dianggap luar biasa.

Ini kerana ujar beliau lagi, ia sejajar dengan peraturan standard kolam renang yang wujud sejak berdekad-dekad lamanya memastikan perenang wanita mendedahkan aurat dengan hanya memakai coli dan seluar dalam seksi.


Menurut portal tersebut, pada bulan lalu, sebuah lagi kolam renang awam di bandar Neutraubling di Jerman turut mengharamkan pengguna wanita Islam daripada memakai burkini malah mengarahkan mereka memakai bikini.

Ini setelah seorang pengunjung wanita membuat aduan tentang seorang wanita Muslimah yang memakai burkini di kolam renang tersebut berbanding perenang kaum Hawa lain selesa berpakaian bikini mendedahkan aurat sendiri.

Datuk Bandar Neutraubling, Heinz Kiechle, dilaporkan tidak senang hati dengan pemakaian burkini, yang katanya “bertentangan dengan usaha perpaduan antara satu sama lain yang kerap diperbincangkan di banyak bandar.”

Ironi, lapor portal berkenaan lagi, Terzer yang juga anggota berpengaruh parti FP di Austria, turut menggesa agar keselamatan lebih ketat dilaksanakan di kolam renang itu bagi mengelak gangguan seksual ke atas wanita berbikini.

Beliau merujuk laporan-laporan yang mendakwa ramai wanita didakwa diserang secara seksual oleh pendatang asing di kolam-kolam renang di Austria, menyebabkan beberapa fasiliti mengharamkan semua pelarian lelaki.

Dalam kes terbaharu, pihak berkuasa bandar Mistelbach di Austria juga bertindak langsung mengharamkan buat secara sementara semua pelarian Islam daripada memasuki sebuah kolam renang awam tempatan.

Ini setelah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun melaporkan dirinya diganggu secara seksual oleh seorang lelaki muda ‘berkulit gelap’, yang dipercayai seorang pencari suaka ketika berenang memakai bikini seksi.

Bahkan portal itu melaporkan, pihak berkuasa tempatan terpaksa memasang papan tanda tertera ‘hari ini semua pelarian tidak dibenarkan masuk’ susulan insiden gangguan tersebut. – Agensi