Perginya Allahyarham Tok Guru Hj Salleh, Permata Bernilai Kedah AL-FATIHAH

Tuan Guru Hj Salleh Musa
SIK - Umat Islam di seluruh Kedah semalam bermuram durja ekoran menerima khabar duka tentang pemergian tokoh ulama terkenal, Tuan Guru Hj Salleh Musa, yang meninggal dunia kira-kira jam 8.15 malam semalam.

Allahyarham Tuan Guru Hj Salleh meninggal dunia pada usia 87 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan disahkan oleh anak beliau, Muslim Salleh.

Menurut pembantu peribadi ulama yang banyak menabur jasa di Kedah khususnya di Sik itu, Tuan Guru Hj Salleh mengalami kemerosotan berat badan yang ketara ekoran kurang selera makan sebelum meninggal dunia.

"Sebelum ini tuan guru berisi namun selepas sakit beliau semakin kurus. Arwah juga hilang selera makan,tidak beberapa lalu makan nasi," kata Khairul Nazwan Bzul Qarnain, dalam satu kenyataan, semalam.

Allahyarham sebelum itu disahkan menghidap masalah jangkiran kuman di paru-paru beliau sejak tiga bulan lalu dan terpaksa dimasukkan ke wad kemudiannya.

Katanya lagi, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dari HSB dan bakal disolatkan di Madrasah Ar-Rahmaniah, Sik, pagi ini.

"Kita kehilangan seorang ulama yang banyak berbakti kepada negara,bangsa,dan agama.

"Jenazah akan disolatkan di Madrasah Ar-Rahmaniah esok," jelasnya.

Allahyarham Tuan Guru Hj Salleh yang dilahirkan di Pekan Sik merupakan anak didik kepada beberapa tokoh ulama hebat di Makkah di antaranya ialah Syeikh Ismail Fathoni, Syeikh Abdul Qadir Mandili dan Syeikh Syed Alawi Al-Maliki.

Selepas pulang dari Makkah pada tahun 1963, beliau menyampaikan dakwah dan memenuhi jemputan masyarakat dalam majlis ilmu dan dilantik menjadi Mudir Madrasah Ar Rahmaniah bagi menggantikan ayahnya Tuan Guru Musa Salleh. -Kedahnews.com