Perlu Teman? Anda Boleh Sewa Mereka, Cuma Bayar Saja...

Kwong Mei Lin (tengah) bersama dua lagi rakan upahan Trevor Wong(kiri) dan Marc Lim (kanan)
BAGI individu yang merasa sunyi atau perlukan teman, anda tidak perlu gusar kerana sebuah syarikat di Singapura, Pally Asia menyediakan perkhidmatan menyewa rakan.

Peranan yang dibawa rakan upahan ini bukan sahaja untuk menjadi pengapit lelaki atau perempuan mahupun rakan bersukan malah menjadi pasangan upahan untuk bertemu ibu bapa.

Menurut syarikat itu, rakan upahan ini digelar "pallies".

Berapa agaknya kos mengupah rakan ini? Ia sebenarnya bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan, contohnya jika mahu seseorang menelefon anda selama 15 minit, maka upahnya $15 (RM45) dan bagi perkhidmatan pengapit lelaki atau perempuan untuk 12 jam termasuk ucapan, harga yang dikenakan ialah dalam lingkungan  $1,000 (RM3,028)

Syarikat yang menawarkan perkhidmatan rakan upahan ini dipercayai bermula di Jepun sekitar tahun 2000 dan juga di Amerika Syarikat.

Di Singapura, selain Pally Asia, terdapat juga rakan upahan bebas yang boleh ditemui perkhidmatan mereka melalui laman sosial dan laman web.

Pally Asia dilihat hanya satu-satunya syarikat yang menawarkan pekhidmatan ini sejak ia dibuka awal tahun lalu.

Menjalankan operasi melalui syarikat lebih mudah dipercayai berbanding individu.

Syarikat akan memilih rakan upahan dan jika berlaku perbezaan pendapat antara pelanggan dan rakan upahan, syarikat akan mengambil beberapa langkah mengatasinya.

Enggan mendedahkan bilangan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu, tetapi Pally Asia berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan yang cenderung menggunakan perkhidmatan ini berusia dalam lingkungan 30an atau lebih tua.

Permintaan untuk temujanji makan malam dan rakan bersukan adalah yang paling popular.

Pally Asia diasaskan oleh Chloe Lim, 31, yang mempunyai pekerjaan sepenuh masa dalam industri kewangan, bersama-sama dengan dua rakan universitinya, Low Xu Yang dan Jonathan Chan, kedua-duanya 33.

Idea penubuhan syarikat itu datang apabila  Xu Yang dan Jonathan yang diminta untuk menjadi pengapit lelaki di majlis perkahwinan beberapa tahun yang lalu di mana mereka tidak mengenali pengantin lelaki secara peribadi.

"Kami mendapat permintaan yang sama beberapa tahun sebelum ini. Walaupun kami tidak dibayar untuk kedua-dua majlis perkahwinan, kami melihat ia boleh menjadi perniagaan yang berdaya maju," kata Low Xu.

Ada yang mengatakan perniagaan ini menggunakan duit atas kesedihan orang lain kerana mereka perlu membayar demi persahabatam, namun pengasas melihatnya dari pandangan yang lebih pratikal.

Chloe berkata, bagi mereka yang mempunyai kehidupan yang sibuk, bulatan sosial mengecil adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Ia menjadi sukar untuk mencari syarikat yang betul untuk melakukan aktiviti tertentu. Tidak semua orang mempunyai masa dan usaha untuk membina semula hubungan, jadi kami mahu membantu," katanya dipetik The Straits Times Singapore.

Rakan upahan ini tidak bekerja di syarikat, namun mereka sebahagian daripada skim keahlian.

Syarikat akan memadankan rakan upahan ini dengan pelanggan berdasarkan minat, pengalaman dan ketersediaan.

Kedua-dua rakan upahan dan pelanggan mesti menghormati sempadan yang dinyatakan syarikat atau risiko disenaraihitamkan seperti contoh perkhidmatan seks termasuk bercium adalah tidak dibenarkan.

Pelanggan perlu membayar melalui PayPall sebelum perkhidmatan dan rakan upahan akan dibayar selepas selesai melakukan tugasan.

Pally Asia bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan rakan upahan syarikat mereka namun berkata, mereka  dibahagikan kepada lelaki dan wanita yang berusia 21 tahun hingga 35 tahun termasuklah golongan profesional, eksekutif pemasaran dan pelajar.

Sementara itu, salah seorang rakan upahan, Kwong Mei Lin, 22 pelajar jurusan kimia berkata, dia menjadi rakan upahan untuk bersukan dan boleh mencuba sukan yang baharu walaupun tidak biasa mengenainya.

"Saya pernah menemani seorang wanita berusia pertengahan 40 an selama dua jam bulan lalu yang ingin berlatih maraton namun tidak mempunyai teman untuk melakukannya bersama-sama.

"Ia adalah satu pengalaman yang menarik dan saya gembira kerana dapat meningkatakan keyakinan wanita itu untuk berlari," katanya.

Sumber: Sinar Harian