Petisyen Air: PAS Kedah Sasar 15,000 Sokongan Dari 2.1 Juta Rakyat Kedah

Sebahagian Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Alor Setar bergambar bersama Ahmad Yahya (duduk, tengah) dalam majlis itu.
ALOR SETAR - Kira-kira 15,000 sokongan rakyat disasarkan dikumpul Dewan Pemuda Pas Kedah melalui Petisyen Tuntutan Rakyat Isu Air di Kedah.

Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya berkata, jumlah berkenaan disasarkan diterima melalui 1,000 sokongan rakyat bagi setiap parlimen di negeri ini.

“Untuk itu, kami turut menyediakan ruang kepada penduduk untuk menurunkan tandatangan menyokong petisyen berkenaan yang akan dilancar sehingga 20 Julai depan.

“Beberapa usaha diambil, seperti pelancaran petisyen dan himpunan berikutan prihatin terhadap nasib masyarakat tempatan yang terjejas akibat masalah bekalan air,” katanya.

Katanya, satu acara dikenali Himpunan Derita Rakyat Isu Air Kedah akan dilakukan jam 5 petang pada Rabu depan di Loji Air Kuala Nerang untuk menuntut sistem bekalan air lebih baik.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Kedah melancarkan petisyen online bagi mengumpul sokongan, sekali gus menyuarakan hasrat rakyat berhubung krisis air di Kedah.

Terdahulu, kira-kira 5,000 penduduk setempat mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Alor Setar di Taman Rakyat Mergong, di sini, kelmarin.

Katanya, majlis berkenaan membabitkan semua jawatankuasa Pas Kawasan Alor Setar dan 41 cawangan sebagai kenduri kelompok untuk dinikmati penduduk.

"Sebanyak 17 menu disediakan, seperti ketupat, rendang, nasi, dadih, cucur udang dan kuih muih," katanya.

Sumber: Sinar Harian