PKR Pelawa Muhyiddin Bersama Jatuhkan Kerajaan BN


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempelawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Muhyiddin yang pernah berada dalam Kabinet kononnya dapat membantu agenda reformasi PKR.

“PKR mengalu-alukan kesediaan Muhyiddin untuk bekerjasama dan berganding bahu bersama PKR dan rakan-rakan Pakatan Harapan.

“Kami mengajak untuk bersama, menyebar maklumat dan menyertai satu gerakan massa demi masa depan negara yang lebih baik,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan Kabinet pada Julai 2015 kerana bertindak memburuk-burukkan kerajaan pimpinannya sendiri bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dipercayai berbuat demikian bagi memenuhi agenda mentornya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berdendam dengan Najib kerana enggan memenuhi kepentingan peribadinya.

Kemuncak pengkhianatan Muhyiddin kepada UMNO apabila beliau berkempen untuk calon Pakatan Harapan dalam dua Pilihan Raya Kecil baru-baru ini.

Berikutan itu, Majlis Tertinggi UMNO pada Februari 2016 terpaksa membuat keputusan menggantung jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden parti.

Muhyiddin dalam usaha meraih simpati masyarakat bagaimanapun mendakwa kononnnya beliau dikenakan tindakan oleh UMNO bukan kerana mengkhianati parti tetapi disebabkan lantang mengkritik kerajaan. –Kedahnews.com