Plat Kenderaan Kuala Lumpur Bermula Huruf V


KUALA LUMPUR – Nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur yang baharu akan bermula dengan huruf V.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan media di sini kelmarin berkata, hurut V menggantikan nombor pendaftaran kenderaan di ibu negara yang bermula dengan huruf W.

“Orang ramai yang berminat membuat tempahan bagi siri pertama nombor pendaftaran kenderaan siri V boleh mengemukakan tempahan bermula 15 Julai 2016 sehingga 12 tengah hari 28 Julai 2016,” kata kenyataan.

Menurut kenyataan itu, permohonan tempahan perlu dikemukakan kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak, Kuala Lumpur.

“Panduan dan syarat-syarat lanjut mengenai tempahan nombor pendaftaran kenderaan siri V boleh dilayari di laman web rasmi JPJ di alamat www.jpj.gov.my,” kata JPJ.

Pada 19 Mei lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengumumkan semua kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur menggunakan plat bermula abjad ‘F’ dan ‘V’. -Kedahnews.com