"Prebet Sapu" Thailand Resahkan Pemandu Teksi

Gambar Hiasan
PADANG BESAR - Kegiatan pemandu kereta sapu dari Thailand yang membawa masuk penumpang ke Padang Besar di Malaysia untuk melancong atau bekerja di negara ini menjejaskan dengan teruk pendapatan pemandu teksi di sini.

Bernama yang membuat tinjauan menemui pemandu-pemandu teksi Padang Besar dan difahamkan kegiatan itu telah lama berlaku namun kegiatan mereka lebih agresif sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Pemandu teksi, Mat Isa Senawi, 64, berkata kereta sapu dari Thailand masuk ke negara ini secara sah atas tiket pelancong tetapi mereka membawa bersama pekerja warga Thai termasuk semasa keluar setiap bulan untuk memperbaharui permit kerja.

Beliau mendakwa kereta sapu itu turut menghantar penumpang mereka sehingga ke Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dengan penumpang bersandiwara sebagai pelancong.

"Setakat menghantar pelanggan mereka ke Kangar dan Kuala Perlis adalah biasa tetapi mereka bertindak lebih berani kerana mengambil penumpang semasa dalam perjalanan," katanya kepada Bernama di sini.

SUSAH MENDAPATKAN PENUMPANG


Mat Isa berkata untuk mendapatkan seorang penumpang setiap hari ibarat menanti buah yang tidak gugur, tambahan pemandu teksi haram berkenaan licik 'mencuri' pelanggan pemandu teksi di sini.

Pemandu kereta sapu Thai banyak menggunakan pacuan empat roda dan van akan mendekati penumpang terutama pelancong asing atau rakyat Thailand yang menuju ke stesen teksi untuk menawarkan perkhidmatan mereka.

"Mereka mungkin menawarkan tambang yang lebih murah berbanding teksi yang terhad kepada empat penumpang sahaja mengenakan tambang sebanyak RM40 bagi perjalanan sehala dari Padang Besar ke Kangar," kata Mat Isa.

Md Zinul Mat Noh, 60, pula berkata beliau serta 13 rakannya menunggu pelanggan di stesen teksi Padang Besar dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam hanya dapat melakukan tidak lebih 12 perjalanan (enam trip pergi-balik) setiap hari.

"Sejak dua tiga tahun ini kami hanya mendapat dua atau tiga trip sahaja setiap hari kerana banyak pelancong asing menggunakan kenderaan sapu negara jiran.

"Kos sara hidup meningkat, teksi perlu diselenggara. Permit perlu dibayar setiap tahun," katanya dalam nada kecewa kerana telah 10 tahun memandu teksi sebagai kerja sampingan tetapi pendapatan diperolehi tidak seberapa.

Beliau berkata isu kereta sapu negara jiran pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Penguatkuasaan dan rondaan yang kerap membuatkan mereka seperti hilang begitu sahaja namun mereka dilihat aktif semula sejak dua tiga tahun lepas.

Selain itu para pemandu teksi Padang Besar menghadapi dilema ditahan polis mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Seorang lagi pemandu teksi Abd Nizam Abd Wahab mendakwa dalam banyak kes pemandu teksi dituduh bersubahat bagi kesalahan itu apabila 'pelancong' yang dibawa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Kejadian lima kes pemandu teksi direman kerana didakwa menyeludup migran atau pendatang asing tanpa izin (PATI) baru-baru ini cukup meresahkan mereka setiap kali membawa penumpang asing.

"Kami tidak boleh minta mereka (warga asing) tunjukkan dokumen perjalanan.

Jika mereka boleh lepas pemeriksaan Imigresen bermakna mereka bersih. Pernah ada antara kami minta tetapi dimarah," kata Abd Nizam.

Abd Nizam menggesa pihak berkuasa lebih banyak mengguna budi bicara sebelum mengambil tindakan terhadap mereka tanpa usul periksa. - Bernama