Presiden PAS Seru Ahli, Penyokong Pertahan Akidah


KUALA LUMPUR – PAS melalui laman Facebook rasminya malam semalam menyiarkan semula ucapan Presidennya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Syawal lalu mengenai perkara yang perlu menjadi pegangan seluruh umat Islam.

Ucapan Abdul Hadi mengenai kepentingan mempertahankan akidah itu disiarkan semula oleh laman Facebook berkenaan selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan terbuka menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS kembali bekerjasama dengan DAP dan parti Pakatan Harapan yang lain petang semalam.

"Terdapat empat perkara penting menjadi pegangan umat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Yang pertama adalah akidah tauhid.

"Perjuangan Islam dan kemenangan dijanjikan oleh Allah S.W.T yang mereka bawa ini bukan wawasannya sekadar di dunia, tetapi yang paling besar wawasan kemenangan yang kekal abadi di hari akhirat.

"Di sini keyakinan dalam hati mereka, menjadikan mereka tidak boleh dirasuah, tak boleh dibeli, tak boleh ditawar menawar secara mudah dengan habuan dunia,” kata Abdul Hadi seperti dilaporkan laman Facebook rasmi PAS malam semalam.

Abdul Hadi berkata, perkara kedua penting untuk umat Islam adalah percaya kepada hari akhirat, ketiga bertakwa kepada Allah S.W.dan keempat menyambung perjuangan Islam.

“Mereka menyambung mesej Islam yang menjadi mata rantai perjuangan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul,” kata Abdul Hadi dalam ucapan itu.

Timbalan Presiden PAS semalam mengejutkan ramai pihak apabila.menggesa seluruh kepemimpinan, ahli dan penyokong PAS supaya kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Beliau yang merupakan pemimpin tertinggi PAS tetapi pro-Pakatan Harapan `dalam diam ‘ mendakwa PAS dan Pakatan Harapan perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi bersama-sama menyerang parti Melayu UMNO.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS melupakan segala perbuatan, cacian hina dan fitnah yang pernah dilemparkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) ke atas parti Islam itu.

Beliau turut memujuk seluruh pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya menghormati sebarang perbezaan dengan DAP dalam isu akidah Islam sebagai langkah berkompromi.

“Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada,” kata Tuan Ibrahim.

PAS disingkirkan daripada gabungan pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR pada tahun lalu disebabkan PAS enggan tunduk kepada desakan supaya berkompromi dalam beberapa isu membabitkan akidah Islam yang dianggap DAP dan PKR boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang.

DAP dan PKR kemudian bertindak menubuhkan Pakatan Harapan selepas membubarkan Pakatan Rakyat bagi membentuk gabungan baharu parti pembangkang yang turut dianggotai PAN.

PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bertujuan menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam pakatan baharu parti pembangkang. –Kedahnews.com