PRN Pulau Pinang Bukan Semata-Mata Untuk Bela Guan Eng - DAP

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook
SHAH ALAM – DAP menafikan dakwaan yang mengatakan keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) semata-mata untuk membela Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Namun Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook akui kes yang melibatkan Guan Eng di mahkamah baru-baru ini menjadi penjana kepada keperluan mengadakan pilihan raya tersebut.

“Objektif untuk kita menang pilihan raya negeri ini bukan soal Guan Eng kerana ia tak dapat mempengaruhi keputusan mahkamah. Mahkamah akan meneruskan pendakwaan itu, memang kita tahu apa pun keputusan PRN, pendakwaan terhadap Guan Eng tidak akan digugurkan.

“Jika Guan Eng disabit bersalah, beliau tidak boleh memimpin Pakatan Harapan di Pulau Pinang selaku ketua menteri. Jika beliau memimpin Pakatan Harapan untuk menghadapi PRN ini, ia memberi kelebihan dari segi kempen pilihan raya dan kalau kita menang, buat sementara waktu beliau akan jadi ketua menteri sehinggalah kes mahkamah diselesaikan,” katanya memetik laporan Roketkini.

Keputusan DAP untuk mengadakan PRN di Pulau Pinang masih belum direstui rakan sekutunya, PKR dan Guan Eng dilaporkan berkata akan terus memujuk PKR untuk setuju dengan cadangan itu.

Sebelumnya, Guan Eng berkata beliau bimbang pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas jika beliau dipenjarakan atas dua pertuduhan rasuah yang sedang dihadapinya.

Ketika ditanya alasan DAP tidak menunggu PRU14 yang sudah semakin hampir, Anthony Loke berkata, tempoh pilihan raya selama ini ditentukan BN di mana memberi kelebihan kepada parti pemerintah itu.

“Selama ini, waktu dan bila pilihanraya itu diadakan ditetapkan oleh Presiden Umno selaku Perdana Menteri. Dia akan mencari suatu masa yang paling baik dan sesuai untuk BN bagi mengadakan pilihanraya.

“Pilihan raya di Semenanjung Malaysia selama ini ditentukan BN. Apabila dia rasa wujud momentum sokongan terhadap dia, dia adakan pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau akui Pakatan Harapan mungkin berdepan risiko kehilangan banyak kerusi kepada BN dalam PRN itu.

“Tetapi apakah kita nak selalu hanya memikirkan atau mempunyai fikiran negatif? Maksudnya sebelum masuk gelanggang pun kita rasa kita sudah kalah?

“Kalau kita masuk gelanggang dan fikir kita akan kalah, pencapaian tak baik, saya nak tanya balik, bagaimana kalau kita dapat kemenangan dan pencapaian yang lebih besar? Bukankah itu akan menjana satu gelombang untuk PRU14?,” tanyanya.

Katanya, pihaknya sanggup mengambil risiko demi melawan semula pendakwaan politik yang berlaku.

Sumber: Sinar Harian