Pusat Hiburan, Judi Haram: Pihak Berwajib Perlu Lebih Agresif - Exco

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim
ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim mahu pihak berwajib lebih agresif terhadap kewujudan pusat hiburan dan judi haram di seluruh negeri Kedah.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, pihak-pihak berkenaan perlu mengambil langkah lebih pro-aktif di kawasan masing-masing selain mengharapkan aduan dari orang ramai tentang kewujudan premis haram di kawasan mereka.

"Saya harap semua pihak seperti pihak berwajib, polis, pegawai-pegawai daerah supaya kenal pasti di daerah masing-masing untuk kita pastikan perkara ini dapat kita tangani secara lebih agresif," tegasnya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.

Menurut Badrol Hisham, adalah tidak tepat untuk menuduh atau menabur persepsi seolah-olah pihak Kerajaan Negeri tidak memberi perhatian serius mengenai masalah pusat hiburan dan judi haram di sekitar negeri itu.

Katanya, pihak Kerajaan Negeri telah lama membekukan sebarang pengeluaran lesen baru bagi premis-premis seumpama itu sejak mula mengambil-alih Kedah dari PAS pada tahun 2013.

"Itu tak tepat. Masa kita ambil alih (kerajaan negeri) pun, kita freeze (bekukan) permohonan lesen-lesen ini. Sampai sekarang kita bekukan. Jadi kalau nak tuduh kata kami tak peduli tentang hal ini, maka tidak betullah.

Kata beliau, selain tindakan agresif dari pihak berkuasa tempatan (PBT), orang ramai juga memainkan peranan penting untuk bertindak berani melaporkan kepada pihak berwajib tentang kewujudan pusat-pusat hiburan dan judi haram d kawasan mereka.

Jelasnya, sekiranya ada aduan rasmi dari orang ramai, maka pihak berwajib akan menggunakan autoriti kuasa yang diberi kepada mereka untuk menyiasat dan membanteras kegiatan pusat hiburan dan judi haram secara lebih efektif.

Justeru itu, Badrol Hisham menegaskan bahawa muafakat dan kerjasama antara pihak berwajib dengan orang ramai adalah menjadi satu resepi paling ampuh dalam memerangi kewujudan pusat hiburan dan judi haram di negeri Kedah.

Masalah pusat hiburan dan judi haram menjadi topik perbualan hangat rakyat Kedah sejak di zaman pemerintahan PAS pada tahun 2008 hingga 2013, menyaksikan premis-premis seumpama itu tumbuh bagai cendawan selepas hujan sehingga sukar dibendung.

Difahamkan bahawa isu pusat hiburan, judi dan maksiat di Kedah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kekalahan PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Kritikan terbuka oleh pihak tertentu di media sosial terhadap Badrol Hisham mengenai isu pusat hiburan dan judi haram tercetus sejak akhir-akhir ini dan beliau dituduh tidak mengambil peduli mengenai masalah yang mampu menimbulkan masalah sosial tersebut. -Kedahnews.com