Pusat Internet 1Malaysia "Hadiah Bermakna"


KOTA TINGGI – Agak bising suasana di balai raya ini, namun sedikit pun tidak mengganggu Zulaika Zulkifli, 19, yang kelihatan begitu asyik membaca maklumat mengenai kelapa pada skrin komputer yang disediakan.

Habis satu paparan, dicari lagi laman sesawang lain yang berkaitan dengan informasi diingini.

Tidak kiralah, minyak kelapa, resepi atau apa sahaja berkaitan dengan buah itu, pasti menjadi tumpuan anak sulung daripada enam beradik ini.

Malah, beliau akan memindahkan pula maklumat itu ke dalam laman sosial, Facebook sebaik memperoleh apa yang dicari.

Ketika ditanya mengapa, beliau berkata: “Saya ingin berkongsi kebaikan mengenai buah kelapa.” Hairan, mengapa kelapa sedangkan terdapat banyak lagi produk lain yang boleh dikongsi.

“Saya menjual santan segar. Bagi menarik perhatian, saya menggunakan kaedah pemasaran yang mengetengahkan apa-apa sahaja berkaitan ‘kelapa’ untuk dikongsi bersama masyarakat.

“Kaedah pemasaran ini, saya belajar daripada PI1M (Pusat Internet 1Malaysia),” katanya kepada Bernama.

POPULARKAN INDUSTRI DESA

Berkeluasan sekurang-kurangnya 1,200 kaki persegi (111 meter persegi), balai raya yang dijadikan PI1M ini terletak di Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Pengerang, Johor dan menjadi tumpuan bukan sahaja Zulaika.

Bahkan pusat teknologi itu telahpun memberi manfaat kepada lebih 10 buah kampung di bawah daerah Pengerang. Melihatnya sebagai satu ‘peluang keemasan’, akui Zulaika, kemudahan PI1M telah banyak membantu mempopularkan perniagaan produk desanya.

Apatah lagi, kafe siber terletak agak jauh daripada kampung dan pastinya ini agak menyukarkan lebih-lebih lagi bagi yang tidak mempunyai pengangkutan.

Mungkin, ada yang bersifat sinikal mempertikaikan keperluan produknya itu untuk diiklankan atas talian. Bagaimanapun, konsep perniagaan yang diajar oleh pengurus dan penolong pengurus PI1M telah berjaya melonjakkan permintaan santan segarnya.

“Saya memilih santan kerana belum ada lagi penjual santan di kawasan ini. Kebiasaannya, orang kampung terpaksa menggunakan santan kotak dan kalau hendak santan segar kena pergi ke Kota Tinggi, lebih kurang 73 kilometer (km) dari sini,” katanya.

Potensi besar produk itu membuatkan Zulaika bersama ibunya, Noriah Abd. Shukor, 44, komited mengusahakannya apatah lagi ia merupakan barangan yang bukan sahaja dicari surirumah. Bahkan juga, pengusaha restoran.

PASARKAN

“Permintaan itu, membuatkan perniagaan ‘Santan Segar Noi’ menjadi tumpuan,” katanya.

Menariknya, PI1M tidak hanya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada masyarakat luar bandar dan kursus pemasaran digital. Bahkan banyak lagi aktiviti lain diadakan di pusat itu, kata Pengurus PI1M Kampung Masjid, Norasikin Mohd. Amir.

“Zulaika antara usahawan dalam talian yang kami pilih dan telah berjaya hasil didikan PI1M. Selain pemasaran, banyak lagi kursus berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk penduduk luar bandar yang telah dianjurkan.

“Antaranya, kemahiran perbankan online, Microsoft Office, Excel, Powerpoint, Adobe Photoshop dan kursus penyediaan makanan. Kami beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga pukul 6 petang kecuali cuti umum,” katanya.

Sambutan yang diterima sangat positif serta menggalakkan dan setakat ini, PI1M kampung itu mempunyai seramai 1,249 ahli.

SANGAT SELESA

Dengan fasilitinya sangat lengkap dan selesa bersama sistem penghawa dingin, ruang latihan kondusif yang memuatkan 10 buah komputer, mesin fotostat, tidak menghairankanlah ia mampu menarik minat ramai, kata pengusaha restoran masakan barat, Ahmad Sobri Ahmad Tajuddin, 23.

“Inisiatif penubuhan PI1M sangat bagus kerana ia mengajar saya cara-cara menghasilkan rekaan iklan yang menarik. Meniaga makanan, kenalah pandai menggunakan teknik gambar untuk iklan ‘bunting’.

“Kalau di luar, kursus-kursus macam ini selalunya mahal. Tetapi, di sini sama ada ianya percuma ataupun dikenakan sedikit bayaran tetapi tidaklah mahal,” kata pemilik restoren Havoc Chicken ini.

Dengan hanya membayar RM5 untuk mendaftar sebagai ahli seumur hidup dan bayaran sebanyak RM1 sejam bagi menggunakan Internet berkelajuan 20 megabit sesaat, sesiapa sahaja boleh menggunakan segala perkhidmatan di PI1M. Manakala, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mengakses Internet secara percuma.

“Golongan belia, pelajar sekolah di sini banyak menumpukan masa mereka di PI1M. Pastinya, ini merupakan satu perkembangan baik kerana mereka tidak buang masa dengan melepak.

“Malah, kemudahan PI1M juga banyak membantu anak-anak kampung ini menyiapkan kerja rumah kerana kebanyakan sekolah telah menggunakan komputer,” kata Ketua Kampung Masjid, Syed Bahrim Syed Ibrahim.

KISAH KEJAYAAN

PI1M Kampung Masjid, merupakan antara satu daripada 704 PI1M (setakat 30 Jun 2016) yang telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di seluruh negara sejak 2007.

Program-program yang diadakan di pusat itu bukan sahaja mendapat sambutan sangat baik di mana jumlah keahlian telah melebihi 500,000 orang.

Malah, banyak ‘kisah kejayaan’ telah direkodkan hasil daripada perkongsian pengetahuan PI1M dengan orang ramai dalam usaha mewujudkan masyarakat celik ICT, kata Pengarah Kanan, Bahagian Advokasi dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar.

Eneng Faridah berkata penubuhan PI1M adalah bertujuan memberi perkhidmatan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat di kawasan kurang liputan.

Kerajaan melalui SKMM mengerakkan inisiatif itu bagi memastikan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar dapat dirapatkan selain tidak ada seorang pun yang terpinggir mengecapi arus kemodenan itu.

Biarpun demikian, akses PI1M akhirnya telah diperluaskan ke kawasan bandar setelah mengambil kira keperluan penduduk berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Selain menyediakan kemudahan akses kepada semua, kami juga ingin menekankan penggunaan Internet secara positif, maknanya selamat digunakan. Pada masa sama, mewujudkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

“Apa yang dipelajari itu akan diajar balik kepada komuniti. Saya nasihatkan supaya penduduk kampung jangan segan menggunakan perkhidmatan PI1M,” katanya. – BERNAMA