Raja Muda Selangor Terima Watikah Tauliah


MELAKA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima Watikah Tauliah Pegawai Muda Tentera Darat Tauliah Luar Negara sebagai Leftenan Muda di Dataran PARAWOOD, Batalion ke 8 Rejimen Renjer Diraja Para, Kem Terendak di sini, semalam.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyempurnakan penyampaian Watikah Tauliah tersebut.

Berangkat sama ke majlis itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd Zin.

Empat lagi Pegawai Muda Tentera Darat turut telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ialah Mohd Nafiq Afifi Jumaan, Leftenan Muda Muhammad Akmal Azmi, Leftenan Muda Mohd Haziq Mohd dan Leftenan Muda Mohammad Hariz Hashim.

Tengku Amir Shah bersama Mohd Nafiq Afifi, Muhammad Akmal dan Mohamad Haziq adalah Pegawai Muda Tentera Darat Tauliah Luar Negara dari Royal Military Academy (RMA) Sandhurst, United Kingdom (UK).

Mohammad Hariz pula dari Officer Cadet School, SAFTI Military Institute, Singapura.

Semua Pegawai Muda Tentera Darat itu ditempatkan di Batalion ke 17 Rejimen Askar Melayu Diraja Para dan Batalion ke 8 Rejimen Renjer Diraja Para.

Terdahulu persembahan Tarian Ngajat, Demonstrasi Keupayaan Para menerusi persembahan Combat Casualty Care, Combat Swimming, Abseiling, Repelling, Fast Roping, Serangan Seksyen Human Wave dan Tarian Perang 10 Bgd PARA dipersembahkan kepada semua yang hadir.

Tengku Amir Shah, 25, ketika ditemui pemberita bertitah menasihatkan golongan muda yang berminat untuk menyertai bidang ketenteraan agar sentiasa mempunyai keinginan untuk belajar dan perlu bersikap proaktif.

“Sentiasa ke hadapan dan tidak hanya duduk diam di belakang serta bekerja sebagai sebuah kumpulan,” titah baginda yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekologi dan Biologi Alam Sekitar dari Universiti Leeds.

Baginda yang menjalani latihan ketenteraan Commisioning course 152 di RMA Sandhurst antara 3 Mei tahun lepas sehingga 15 April lalu, akan ditempatkan di Batalion ke 17, Rajimen Askar Melayu Diraja Para, Kem Terendak, di sini. – BERNAMA