Raja Permaisuri Agong Bangga Dengan Pencapaian MSU


SHAH ALAM – Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Management and Science University (MSU) kerana berjaya mendidik serta meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk menjadi teras kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Baginda yang juga Canselor MSU bertitah baginda turut merasa gembira kerana MSU meletakkan budaya kecemerlangan sebagai asas dalam membangunkan universiti tersebut.

“Beta dapat melihat kesungguhan MSU yang mana hasil pembelajarannya diterapkan dalam semua kursus pengajian. MSU memberi penekanan kepada nilai etika dan moral, kemahiran keusahawanan dan pemikiran kritis merentas kurikulum pengajian.

“Usaha MSU selari dengan hasrat supaya graduan yang dikeluarkan merupakan graduan seimbang, mencapai keputusan akademik terbaik, berciri keusahawanan dan memiliki kemahiran insaniah, ” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-19 MSU di sini semalam.

Turut hadir Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Tuanku Hajah Haminah berharap supaya MSU terus menjadi sebuah universiti terunggul dan menyeru warga universiti itu agar berganding bahu bagi mengharumkan nama MSU di setiap bidang di seluruh persada dunia.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan para graduan supaya melahirkan rasa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Sebagai bakal pemimpin masa hadapan, sewajarnya para graduan memperkasakan semangat patriotik dan sayangkan negara yang peranan tersebut sesuai dengan kedudukan graduan yang menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

“Namun begitu ingin Beta berpesan kepada para graduan, ketika menyusun langkah ke arah mencapai impian gemilang, imbas masa lampau dan asal usul seperti kata orang tua ‘tersesat dihujung jalan baliklah ke pangkal jalan, titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada MSU kerana menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Dalam Kerja Sosial kepada baginda.

Konvokesyen khas itu berlangsung di Istana Negara pada Khamis lepas.

“Sesungguhnya penganugerahan ini menjadi dorongan dan semangat kepada Beta untuk meneruskan penglibatan aktiviti amal dalam konteks kemasyarakatan dan kemanusiaan,” titah Tuanku Hajah Haminah.

Seramai 1,719 graduan menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen yang berlangsung selama dua hari.

Ia turut menyaksikan lima anugerah khas diberikan kepada 53 graduan cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing. – BERNAMA