Rakyat Kedah Geram Tubuh Page FB Kecewa Dengan SADA

ALOR SETAR – Akibat bosan dengan masalah gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan, satu akaun Facebook telah diwujudkan khas oleh penduduk agar keluhan mereka diberi perhatian.

Akaun tersebut di bawah nama "Rakyat KEDAH Kecewa Dengan SADA" iaitu merujuk kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) diwujudkan setelah banyak kali aduan tentang masalah bekalan air dibuat, tetapi tiada sebarang penyelesaian.

Jika ada sekalipun, dikatakan bahawa bekalan air yang disalurkan hanyalah bersifat sementara sahaja dan akan kembali meragam seperti biasa dengan penduduk terpaksa menangung kesusahan tiada bekalan.


Terdapat juga aduan yang mendakwa jika terdapat bekalan sekalipun, air yang dibekalkan adalah kotor dan kurang selamat digunakan.

Difahamkan masalah yang dianggarkan berlaku kira-kira lebih 10 tahun yang lalu itu semakin kerap terjadi di mana gangguan bekalan air kerap berlaku secara tiba-tiba di beberapa daerah dan ia dikatakan berlaku tanpa sebarang notis atau pemberitahuan daripada mana-mana pihak.

Baru-baru ini laman Facebook tersebut ada memuat naik gambar aduan yang sering diberikan kepada SADA, namuntidak mendapat sebarang jawapan.

Seorang pengguna juga mendakwa di kawasan kampung tempat tinggalnya telah mengalami masalah gangguan bekalan air sejak 20 tahun yang lalu tetapi sehingga kini masih tidak mendapat jalan penyelesaian.


Tambahnya, masalah bekalan air akan menjadi lebih teruk menjelang musim perayaan sehingga mengganggu rutin harian dan persiapan perayaan mereka.

Difahamkan, setiap bulan mereka juga terpaksa membayar bil air yang agak tinggi iaitu antara RM20 hingga RM60 sebulan walaupun bekalan air yang mereka peroleh itu tidak mencukupi.

Diharapkan keluhan rakyat itu mendapat perhatian SADA dan dapat menyelesaikan masalah ini daripada terus berulang dan menggangu rutin harian penduduk di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam menegur SADA atas respon Pusat Aduan agensi itu dan tindakan susulan yang dikatakan gagal menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah. –Kedahnews.com