JOHOR BAHRU – Pada mulanya dijanjikan pekerjaan sebagai staf hotel yang bergaji kira-kira RM3,000 sebulan, namun tawaran yang sepatutnya diperoleh tiba-tiba bertukar kepada lain.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga terpaksa menahan keinginan untuk pergi ke mana-mana kerana satu-satunya dokumen perjalanan yang dipunyai mereka iaitu pasport, ditahan oleh pihak ejen terlibat.
Itu adalah antara nasib sebahagian besar penduduk Sarawak yang ditipu ejen pekerjaan yang kononnya boleh membantu mencari peluang pekerjaan di Singapura, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Persatuan Borneo Johor, Donny Linan berkata pihaknya menerima begitu banyak aduan tentang kes itu kebelakangan ini, namun tidak berupaya untuk melaporkannya kepada polis disebabkan kekurangan bukti.
“Rata-rata mangsa yang menemui kami ialah pekerja yang dapat melarikan diri dan yang paling sedih mereka hanya berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Donny berkata dalang di sebalik penipuan itu kadangkala penduduk Sarawak sendiri, yang akan turun ke kawasan pedalaman untuk menguar-uarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Tambah beliau, anak-anak muda yang baharu sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan tiada pengetahuan meluas tentang dunia luar, akan paling mudah terpedaya dengan tawaran terbabit kerana menyifatkan gaji yang diperoleh cukup untuk mengubah nasib keluarga.
“Kalau ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan, sesiapa sahaja akan sanggup pergi ke Singapura, lebih-lebih lagi mengenangkan keluarga susah dan mahu memperbaiki kualiti hidup tetapi siapa sangka ia hanyalah indah khabar daripada rupa,” katanya.
Menurut Donny, kira-kira 80 peratus mangsa penipuan yang tampil membuat pengaduan berasal dari Kapit dan telah dihantar semula ke kampung halaman masing-masing, sebaik dibantu pihaknya.
Buat masa ini dianggarkan ada kira-kira 35,000 penduduk Sarawak yang bekerja dan menetap di Johor. Berikutan itu, pihak persatuan akan melancarkan Pusat Informasi Sarawak di Pasir Gudang pada 9 Julai ini.
Pusat yang akan diurus tadbir bersama Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu, bakal memberi maklumat tepat berhubung tawaran pekerjaan di Singapura kepada anak muda Sarawak, selain memadankan kelayakan akademik mereka dengan pekerjaan yang sesuai.
Selain itu, pusat itu akan menjadi “orang tengah” dalam menyelesaikan kes penipuan tersebut, katanya.
“Ini sekali gus akan dapat mengurangkan kes penipuan dalam kalangan penduduk kami dan berharap ia dapat dimanfaatkan seelok mungkin oleh penduduk Sarawak,” kata Donny yang bekerja sebagai penjawat awam persekutuan di sini.
Tambahnya lagi, pusat itu akan turut membantu dalam proses pendaftaran penduduk Sarawak sebagai pemilih berdaftar pada masa hadapan. – Bernama