Rampas Tanah Jika Tanam Ketum Di Kedah

JITRA - Kerajaan Kedah tidak teragak-agak merampas tanah pertanian milik kerajaan negeri yang disalah guna untuk tanaman ketum, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf tanaman pokok ketum kerana terdapat banyak tanaman pertanian lain yang boleh menyumbang pendapatan lebih lumayan kepada pengusahanya.

"Jika ada pengusaha yang gunakan tanah kerajaan negeri untuk tanaman ketum, yang bukan tanaman yang diiktiraf, kita tidak teragak-agak untuk merampasnya.

Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang tertentu untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Kedah di Dataran Darul Aman di sini, semalam.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diminta mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penanaman ketum di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah menyeru semua anggota Umno di negeri ini kekal bersama parti itu dan tidak berpaling tadah dengan menyertai parti baharu di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, ia kerana parti itu telah banyak berjasa kepada rakyat selama ini.

"Tidak perlu tukar parti...duduk sahaja dalam parti ini (Umno) kerana yang dibawa oleh mereka (Dr Mahathir) belum wujud," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mempelawa anggota Umno menyertai parti baharu.

Mukhriz dalam ucapannya pada satu majlis jamuan hari raya di Kodiang, semalam meminta anggota Umno menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi. - Bernama