Rayu Bantuan Biayai Kos Pengangkutan Anak Ke Hospital

Md Yenki, isteri dan anaknya, Rozaini yang mengalami masalah pernafasan.
BALING - Sepasang suami isteri di Kampung Padang Mukim Kupang di sini, memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pengangkutan untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.

Md Yenki A Hamid, 57, berkata, anaknya, Mohamad Rozaini, 15, perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Baling dan Sungai Petani dua kali sebulan selepas disahkan mempunyai masalah pernafasan.

Menurutnya, anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) disahkan mengalami masalah itu selepas demam panas pada Mei lalu dan kini lehernya juga sudah ditebuk.

"Saya memang tiada pendapatan tetap kerana hanya bekerja kampung.

"Sebelum ini, saya hantar anak ke hospital naik kereta sendiri, tetapi selepas kereta saya rosak tiga bulan lalu, saya terpaksa sewa kereta dengan bayaran RM60.

“Dengan keadaan sekarang, agak sukar nak bawa ke hospital, namun mahu atau tidak saya perlu usahakan sesuatu," katanya kepada Sinar Harian.

Md Yenki berkata, anaknya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.

"Walaupun anak saya ada terima bantuan JKM, tapi wang itu juga tak cukup," katanya.

Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Baling, Zulkefli Mohamad Amin berkata, pejabat Parlimen ada menyediakan kemudahan kenderaan bagi golongan memerlukan.

“Sekiranya perlukan bantuan, pejabat Parlimen akan sediakan kemudahan kenderaan secara percuma.

“Keluarga berkenaan diminta hadir ke pejabat Parlimen untuk memudahkan urusan bantuan dan kita memerlukan maklumat lengkap mereka,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada kepada keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun Bank Rakyat (22-004-138619-4) atau hubungi talian 019-5993266.

Sumber: Sinar Harian