Rempuh 10 Kereta, Pemandu Bas Ditahan Bantu Siasatan


IPOH – Pemandu bas persiaran yang merempuh 10 kenderaan lain dalam satu kemalangan di KM265.8 selepas terowong Menora telah ditahan, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik.

Menurut Jamil, pemandu itu akan direman bagi membantu pihak polis menyiasat kemalangan yang berlaku semalam itu secara menyeluruh.

Tambahnya, pihak polis juga akan menyiasat jika kejadian itu berpunca dari isu teknikal, kelalaian atau memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Kami memandang berat kemalangan yang berlaku ini dan akan memulakan penyiasatan. Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh bagi mengenalpasti punca sebenar,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya dua orang cedera dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada 2.45 petang itu.

Jamil berkata, siasatan awal mendapati trafik bergerak lancar di lebuh raya tersebut apabila sebuah bas secara tiba-tiba bergerak laju di antara dua lorong lebuh raya berkenaan. – Kedahnews.com