Rumah Di Taman Bersatu Jadi Pusat Bungkus Dadah

 Dua lelaki yang ditahan AADK dalam kediaman tersebut.
KUALA KEDAH - Kira-kira 15 penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar/Pokok Sena terpaksa mengambil masa setengah jam menggeledah sebuah rumah di Taman Bersatu di sini, sebelum menemui peralatan menghisap syabu yang disembunyikan di belakang peti ais dan almari dapur.

Rumah berkenaan disyaki dijadikan pusat pembungkusan dadah sejak disewa tiga bulan lalu.

Ketika pemeriksaan dijalankan, dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 35 tahun tidak mengaku mengambil dadah dalam kediaman berkenaan dan enggan memberi kerjasama.

Mereka bagaimanapun akhirnya menunjukkan lokasi dadah jenis syabu dibuang dalam saluran paip tandas untukmengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa terbabit.

Malah, mereka turut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai mahu mendapatkan bekalan dadah, sebelum dia juga ditahan AADK.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Pejabat AADK Kota Setar/Pokok Sena untuk siasatan.

Ketua Operasi Unit Penguatkuasaan AADK Kota Setar/Pokok Sena, Megat Abdullah Sani Megat Baharum berkata, siasatan dilakukan mendapati, pengedar dan penagih akan membuat temu janji terlebih dahulu.

“Selepas masa dan lokasi ditetapkan, penagih akan menunggu di lokasi ditetapkan. Sebagai contoh, kita menemui suspek ketiga berdekatan kedai makan,” katanya.

Megat berkata, seramai 11 lelaki berusia antara 19 hingga 54 tahun dipercayai penagih dadah ditahan dalam Ops Cegah selama lima jam itu.

Beliau berkata, lapan daripada mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 1 hingga 6 pagi terbabit disahkan positif dadah, manakala selebihnya negatif dalam hasil ujian air kencing dilakukan.

Tambahnya, serbuan berkenaan dilakukan berdasarkan aduan ramai dan risikan demi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan itu.

Sumber: Sinar Harian