SADA Tiada Kuasa Catu Air Di Kedah- Azmi Din

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA, Datuk Azmi Din
ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa kononnya bekalan air di kawasan tertentu dicatu syarikat itu ekoran masalah air di negeri Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA, Datuk Azmi Din berkata, pihaknya tiada kuas untuk melakukan catuan air berdasarkan Seksyen 54 (3) Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"SADA pun tidak ada kuasa mengeluarkan arahan untuk catuan air, yang ini di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Apabila dalam keadaan gangguan 1.4 peratus daripada 566,000 akaun, SPAN kata tidak layak untuk dibenarkan catuan," jelas beliau tentang dakwaan tersebut dalam sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

"SADA bertindak mengikut undang-undang, Seksyen 54 (3) Akta SPAN menyebut sekiranya berlaku apa-apa gangguan bekalan air, pengguna hendaklah dilayan secara penghantaran lori tangki.

Menjelaskan usaha SADA dalam memenuhi keperluan pengguna pada Aidilfitri yang lalu, syarikat itu telah berjaya menyalurkan sebanyak 2.4 juta liter sehari, satu jumlah yang sebenarnya jauh mengatasi kemampuan 100 buah lori tangki air.

"Tapi kesempurnaan seperti dapat air dari paip air biasa itu tidak dapatlah," katanya menjelaskan keupayaan SADA menyalurkan air lebih dari kemampuan sebenar pada Aidilfitri yang lalu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din yang mengetuai Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah menyatakan bahawa hanya 8,000 akaun dari jumlah 560,000 akaun pengguna khidmat SADA sahaja yang terjejas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din (kiri) mengetuai Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah
Namun begitu, ekoran ia berlaku di musim perayaan yang menyaksikan ramai anak-anak Kedah di perantaun pulang berhari raya, maka ia dilihat bagaikan satu isu yang mencetus kebimbangan semua pihak.

"Sebenarnya, yang bermasalah bukan melibatkan peratusan yang besar, hanya 1.4 peratus saja daripada jumlah keseluruhan lebih 540,000 akaun yang ada.

"Tapi kerana sekarang ini musim perayaan jadi 1.4 peratus pun dilihat besarlah, ia hanya libatkan 8,000 akaun sahaja," jelasnya tentang bilangan sebenar yang menghadapi masalah bekalan air di Kedah. -Kedahnews.com