Salah Guna Pas Lawatan, Kerja Di Premis Refleksologi Sg Petani

Antara warga Thailand yang ditahan dalam Ops Ikrar di Taman Pekan Baru, Sungai Petani
SUNGAI PETANI – Lima warga Thailand ditahan dalam serbuan Ops Ikrar yang dijalankan di sebuah premis refleksologi dekat Taman Pekan Baru, Sungai Petani, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah, Mohd Shahrir Khalil berkata, operasi bermula jam 5 pagi itu disertai 19 anggota termasuk pegawai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat rakyat tempatan dan warga Thailand dalam premis terbabit yang dipercayai terlibat dalam operasi pusat refleksologi itu.

“Pemeriksaan sama turut dilakukan ke atas tiga lelaki dan dua wanita rakyat tempatan di lokasi kejadian.

“Kita juga menemui lima warga Thailand yang dipercayai merupakan petugas pusat berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima wanita itu menyalahgunakan pas lawatan dan ditahan bawah kesalahan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya, Pejabat Imigresen Negeri Kedah turut memanggil dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan bagi membantu siasatan.

Kesemua warga Thailand telah ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik.

Sumber: Sinar Harian