Salahuddin Dakwa Ramai Pemimpin PAS Kecewa Pakai Keris, Tanjak?


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Salahuddin Ayub mendakwa ramai pemegang jawatan dalam PAS berasa kecewa kerana pimpinan tertinggi mereka memakai tanjak dan keris dalam muktamar parti itu tahun ini.

Beliau yang merupakan bekas Naib Presiden PAS mendakwa, golongan terbabit berasa kecewa kerana perjuangan PAS sudah berubah dan meluahkan perasaan mereka sewaktu menziarahinya pada sambutan Aidilfitri.

“Rakan-rakan lama daripada PAS berjumpa dengan saya. Ada dalam kalangan mereka yang masih memegang jawatan dalam PAS.

“Mereka datang bertanya khabar dan ada yang terus terang meluahkan perasaan kecewa kerana perjuangan PAS bukan lagi seperti dulu apatah lagi tanjak dan keris hadir dalam muktamar PAS yang lalu,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.


Salahuddin seterusnya menyindir parti PAS semakin seronok dengan ciri-ciri dan budaya kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), pada waktu PAN terus membuktikan bahawa parti itu untuk generasi muda dan merealisasikan "Islam Rahmatallillalamin".

Beliau turut mempersenda PAS bahawa PAN yang kurang setahun ditubuhkan mampu menandingi PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.

“Lebih menyakinkan saya tidak ada seorang pun ahli dan pimpinan Amanah (PAN) yang keluar parti. Walaupun diserang dari terbit mentari hingga terbit fajar sidiq Amanah (PAN) mampu bergerak pantas memahat arca siasah negara,” dakwanya.

PAN ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang bertindak keluar parti selepas tewas dalam pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.

Mereka ditolak oleh para perwakilan PAS kerana dilihat terlalu taksub kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusaha mengenegahkan fahaman liberal hingga boleh menjejaskan kepentingan agama Islam di negara ini.

PAN seterusnya menyertai Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP bagi menggantikan PAS yang dikeluarkan daripada gabungan parti pembangkang oleh PKR dan DAP. –Kedahnews.com