Sandro Makin Pulih, Serta Latihan Bersama Rakan Sepasukan


ALOR SETAR - Pemain import sensasi skuad Helang Merah, Sandro Da Silva Mendoca dilaporkan semakin pulih dari kecederaan yang dialami dan turut menyertai latihan bersama rakan sepasukan lain.

Laman page Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam menyiarkan gambar pemain yang berasal dari Brazil itu dalam satu sesi latihan skuad kebanggaan negeri Kedah itu di sini, petang semalam.

"Sandro Mendonca semakin positif dalam proses pemulihan dan turut menyertai latihan bersama rakan sepasukan lain," tulis pengendali laman berkenaan.

Sandro sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat kerenggangan tulang belakang dan terpaksa digugurkan buat sementara waktu dari beraksi bersama pasukan Kedah sehingga beliau benar-benar pulih.

KFA turut menjelaskan bahawa nama Sandro tidak tersenarai untuk menyarung jersi Kedah bagi baki saingan musim ini.

"Walaupun tidak didaftarkan bagi baki saingan musim ini, pemulihan beliau amat penting untuk membantu Kedah pada musim 2017," jelas KFA.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini mengumumkan dua pemain import baru, Thiago Augusto Fernandes dari Brazil dan Shane Edward Smeltz dari New Zealand, bagi memperkukuh saingan skuad Helang Merah. -Kedahnews.com