Sedih Dianggap "Sampah", Noorkhiriah Umum Bersara

Noorkhiriah
SIAPA yang tak kenal dengan pelakon serba-boleh, Noorkhiriah Ahmad Shapie yang suatu ketika dahulu pernah mendominasi dalam drama-drama di kaca televisyen Malaysia.

Pun begitu, ini mungkin berita sedih buat peminat industri hiburan tanah air kerana Noorkhiriah, 37, baru-baru ini telah mengumumkan mahu bersara dalam bidang lakonan.

Menurut Noorkhiriah, keputusan ini diambil kerana berasa kecewa dirinya sering dipermainkan syarikat produksi yang memungkiri janji apabila sudah bersetuju mengambilnya berlakon.

“Bukan satu perkara yang mudah sebenarnya untuk saya melepaskan benda yang saya suka buat hampir 20 tahun, tetapi saya sudah tidak larat.

“Kesabaran setiap manusia itu ada hadnya dan selepas berfikir panjang saya nekad selain yakin rezeki saya dalam bidang lakonan setakat ini sahaja.

“Keputusan ini juga petunjuk daripada Allah dan Insya-Allah akan ada rezeki lain untuk saya.

“Saya sedar diri saya sudah ‘suam-suam kuku’ dan sekarang produksi dan stesen televisyen lebih mementingkan populariti untuk menghiasi drama terbitan mereka.

“Tetapi jangan salah faham, saya tiada masalah dengan pilihan mereka cuma sebagai orang lama saya sedih kerana sering dianggap macam sampah.

“Ia keputusan terbaik buat diri saya selebihnya buat masa ini saya tidak mahu ulas panjang,” katanya.


Tambah Noorkhiriah, ini bukanlah kejadian pertama berlaku namun dia telah banyak bertolak ansur dan bersabar hingga dia terpaksa membuat keputusan sedemikian.

Noorkhiriah telah berkecimpung dalam industri seni hampir 20 tahun.

Antara drama yang pernah dibintanginya ialah Yes Boss!, Sindarela, Boona Boonie, Edisi Khas, Emil Emilda dan Jubah Hitam. –Kedahnews.com