Sejarah Semangat 46 Akan Berulang Lagi Kerana Mahathir

Tan Sri Dr. Rais Yatim
KUANTAN – Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yakin parti yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mendapat sambutan khususnya di kalangan oleh orang Melayu.

Menurut Rais parti baharu itu bakal menempuh ‘warna’ dan suasana seperti yang pernah dialami oleh parti Semangat 46 dahulu yang gagal mendapat sambutan.

Semangat 46 akhirnya terkubur setelah bekerjasama dengan DAP, dan parti lain menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) demi bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990.

“Saya tidak rasa ia akan disertai dengan meluas oleh orang Melayu kerana kita perlu ingat kesilapan Semangat 46 dan PAS dahulu yang menerima masuk DAP yang akhirnya menjadikan ‘perkahwinan’ itu tidak lama.

“APU ketika itu menolak DAP dan pakatan baharu kali ini juga hendak membawa (masuk) DAP.

“Bagi orang Melayu, DAP sukar dijadikan ‘teman sekatil’ dan dalam konteks inilah Tun Mahathir semolek-moleknya tidak harus menubuhkan parti baharu ini,” katanya.

Rais bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Perubatan Universiti Islam Malaysia (IIUMMC) yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurutnya mengkritik dari dalam parti lebih berkesan daripada menubuhkan parti baharu kerana semasa zaman Mahathir, beliau sendiri pernah mengingatkan bahawa tidak ada kesilapan yang tidak boleh diperbetulkan di dalam UMNO dengan teguran.

“Sistem itu (teguran) boleh digunakan balik walaupun kini Najib (Datuk Seri Najib) yang menerajui pucuk pimpinan parti dan negara.

“Banyak perkara boleh diselesaikan jika kedua-dua pemimpin ini mengadakan pertemuan empat mata.

“Bagaimanapun hak nak menubuhkan parti adalah hak sesiapa sahaja, bak kata pepatah kalau nak mencuba laut dalam, letakkan ia di tepi pasir, kalau nak mencuba sampai mendalam, esok jangan sampai kena usir,” katanya.

Rais turut berharap pemimpin dan orang Melayu kembali bersatu dan meletakkan kepentingan peribadi di tepi untuk mengelakkan unsur-unsur luar mengambil kesempatan terhadap keadaan itu. – BERNAMA