Seniman Buat Laporan Polis Terhadap Fakkah Fuzz, Dakwa Biadap

Fakkah Fuzz
KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis terhadap pelawak Singapura, Fakkah Fuzz yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam persembahannya baru-baru ini.

Setiausaha Agung Seniman, Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah yang ditemui pemberita berkata, pihak polis perlu segera menyiasat perkara berkenaan yang dipandang cukup serius oleh persatuan tersebut.

“Kami menggesa beliau agar memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia khususnya perdana menteri,” kata beliau selepas hadir membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini semalam.

Seniman juga ujar Mohd. Hafiz, berharap supaya pihak Jabatan Imigresen Malaysia dapat segera menyenaraihitamkan artis muda Melayu yang kurang ajar tersebut daripada cuba memasuki negara ini.

Fakkah atau nama sebenarnya, Muhammed Fadzri Abdul Rashid, dikatakan ‘mempersendakan’ Najib sebagai bahan sindiran dalam jenakanya menerusi persembahan ‘stand up comedy‘ beliau baru-baru ini.

Sebuah video memaparkan aksi Fakkah menyebut nama Perdana Menteri ketika berjenaka tentang perbezaan penggunaan bahasa Melayu antara warga Singapura dan rakyat Malaysia tersebar luas di media sosial.

Fakkah dilaporkan sudahpun meminta maaf atas perbuatannya itu dan berkata beliau tidak berniat untuk menyakiti perasaan rakyat Malaysia dalam catatan menerusi laman Facebooknya baru-baru ini.

Namun, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan Malaysia supaya mengharamkan Fakkah memasuki Malaysia.

Nazir berkata: “Tindakan itu perlu dilakukan agar tidak ada pihak luar yang secara biadab mempersendakan pimpinan negara kita dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan lawak.” – Agensi