Sentiasa Waspada Dengan Mahathir, Pesan Anwar


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin mendedahkan bekas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berpesan kepadanya supaya sentiasa berwaspada dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Anwar berbisik kepadanya mengenai perkara itu sewaktu beliau berjumpa dengan Anwar di mahkamah sebelum ini.

"Saya mahu dapat kebenaran Anwar (berjumpa Mahathir), masa itu Anwar dalam penjara. Bila Anwar di bawa ke mahkamah saya berbisik padanya saya dapat mesej orang ini (Mahathir) nak berjumpa saya.

"Dia (Anwar) terkejut tetapi dia berikan restu kepada saya. Tetapi Anwar kata kita perlu sangat berwaspada. Kita cuma dengar apa yang nak disampaikan (Mahathir)," dedahnya dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau menerusi wawancara itu mengulas tentang deklarasi yang dianjurkan Mahathir dengan kerjasama pemimpin Pakatan Harapan termasuk dirinya pada Mac lalu.

Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan bekerjasama menganjurkan deklarasi yang kononnya digelar sebagai `deklarasi rakyat’ itu bagi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahathir dipercayai berbuat demikian kerana berdendam dengan Najib yang enggan memenuhi kepentingannya dalam beberapa perkara termasuk berhubung pembinaan jambatan bengkok di Johor.

Bekas Perdana Menteri itu juga berdendam dengan Najib kerana usahanya untuk `mengangkat’ anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala pengikut setianya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri gagal.

Sejurus kerjasama itu termeterai, Anwar menerusi seutus surat dari penjara menyelar kerjasama itu sambil memberi peringatan kepada seluruh parti gabungan Pakatan Harapan agar tidak terperangkap dengan kelicikan Mahathir memperjuangkan agenda peribadinya. –Kedahnews.com