Serangan Pengganas Di Nice, Pelajar Malaysia Cedera

Esmond Chuah
PETALING JAYA - Pelajar Malaysia yang mengalami kecederaan ketika kejadian serangan di Nice telah menghubungi keluarganya di Malaysia.

Esmond Chuah, 22, menghubungi ibunya pada pukul 5 petang Jumaat selepas meminjam telefon daripada jururawat di hospital yang merawatnya.

Bapanya, Chuah Tze Leng berkata,  segala kebimbangan terhadap anaknya hilang selepas berhubung.

"Esmond telah memberitahu isteri saya bahawa dia 'okay'. Dia boleh menggerakkan kakinya, namun bahagian belakangnya retak.

"Kami sangat risau. Namun sekarang sudah lega sedikit dan kami bersedia untuk melawatnya di Nice," jelasnya yang bekerja sebagai pengurus di sebuah bank di Pulau Pinang.

Esmond antara 12 orang pelajar dari Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTD) yang sedang mengikuti program musim panas di Nice selama tiga minggu.

Pada pukul 4 petang Jumaat, Tze Leng memuat naik status di laman Facebook miliknya merayu untuk mendapatkan maklumat mengenai anaknya.

Sumber: mStar