Setahun Urus Amar, Ibu Amyra Tak Sangka Jadi Menantu

MAJLIS pertunangan pasangan Amar Baharin dan Amyra Rosali yang bakal berlangsung pada Jumaat ini telah menjawab segala teka-teki mengenai hubungan mereka.

Pertunangan mereka juga sedikit sebanyak telah melegakan ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad kerana tidak perlu berdepan dengan persoalan mengenai status Amyra dan Amar.

“Alhamdulillah, semuanya telah dileraikan. Apa yang penting, ia diumumkan secara serentak kepada semua rakan media. Sebelum ini, semua kisah bagai tersimpan rapi dan tidak dapat diluahkan.

“Setahun saya menguruskan kerjaya Amar, saya tidak menyangka dia akan menjadi menantu saya. Dalam hal ini, mereka berdua bersikap dewasa dan matang.

“Amar banyak membantu agar hubungan mereka tidak terlalu ketara dan dari sudut itu, saya nampak dia seorang yang sweet. Sepanjang menguruskan kerjanya, dia seorang yang sangat menyenangkan hati.

“Sikap dan kelakuannya cukup bagus. Begitu juga dengan cara Amar bekerja,” kata Noor Zaridah kepada BH Online.

Pada Isnin lalu, pasangan bahagia ini telah mengumumkan tarikh pertunangan mereka yang bakal diadakan pada Jumaat ini, manakala tarikh perkahwinan pula akan diadakan pada 11 November depan. –Kedahnews.com