Shaiful Hazizy Alu-Alukan Mukhriz Tubuh Parti Baru

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dialu-alukan untuk menubuhkan parti baru dan membuktikan bahawa beliau mampu menjadi Menteri Besar Kedah tanpa bantuan dari Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau bosan dengan dakwaan penyokong tegas Mukhriz yang mendakwa kononnya Mukhriz merupakan satu-satunya faktor BN berjaya merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri Kedah, sedangkan ia adalah satu dakwaan yang tidak tepat.

"Saya pernah cabar Datuk Seri Mukhriz untuk tubuh parti baru, bertanding atas dasar parti baru itu tanpa bantuan atau gunakan Barisan Nasional (BN).

"Sebab berulang kali pengikut-pengikut beliau mengatakan bahawa Kedah ini dimenangi BN atas dasar faktor beliau.

"Jadi, okeylah.. tubuh parti baru di Kedah ni dan minta Mukhriz bertanding atas parti baru, kita tengoklah," katanya kepada media di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, penubuhan parti baru oleh bekas pemimpin UMNO yang kecewa ekoran desakan kepentingan peribadi seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal atau Mukhriz tidak akan memberi apa-apa kesan signifikan terhadap UMNO.

"Kekuatan UMNO tidak terjejas.

"Saya yakin ahli UMNO dapat berfikir dengan matang, mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada parti dan saya rasa penubuhan parti baru ini langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada UMNO.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok itu, Kerajaan BN Negeri Kedah kini amat bersedia dan tidak gentar berdepan dengan isu, serta begitu komited untuk menyelesaikan masalah demi kebajikan rakyat di negeri Kedah.

Memberi contoh isu masalah bekalan air yang melanda Kedah pada Aidilfitri lalu, beliau menegaskan tentang langkah-langkah jangka masa pendek yang telah pun diusahakan segera di samping langkah-langkah jangka masa panjang yang bakal menyelesaikan masalah tersebut secara keseluruhan.

"Saya yakin melihat sokongan rakyat pada kesungguhan kami, penubuhan parti baru tidak akan menjejaskan UMNO di negeri Kedah," tegasnya lagi.

Mukhriz sebelum dipecat dari UMNO didapati melakukan pelbagai masalah disiplin secara terbuka tanpa menghiraukan teguran apabila menyerang kepimpinan parti secara konsisten dan bersekongkol dengan parti pembangkang, khususnya Lim Kit Siang dari DAP.

Bapanya, Tun Dr Mahathir digembar-gemburkan menerusi desas-desus yang mengatakan belian bakal menubuhkan parti baru dalam masa terdekat bagi menjatuhkan Kerajaan BN setelah usahanya menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, gagal.

Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin sebelum ini merupakan antara pemimpin yang menjadi dalang menjejaskan imej Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini sehingga memaksa beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri atas desakan dalaman parti. -Kedahnews.com