Skim Piramid Dipantau, Disyaki Punca Ramai Jatuh Miskin

PETALING JAYA - Sebuah syarikat jualan langsung menimbulkan syak wasangka selepas menuntut pelaburan besar daripada ahli-ahli yang berpotensi.

Menjanjikan hasil kekayaan dan pulangan lumayan, syarikat itu juga memberitahu bakal pelanggan supaya membuat pinjaman peribadi untuk melabur.

Satu carian menerusi laman Google mendedahkan senarai panjang aduan dan dakwaan bahawa syarikat itu menjalankan skim piramid yang menyebabkan ramai mangsa jatuh miskin sebelum mereka menyertainya.

Pada 2014, Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) menerima sekurang-kurangnya lima aduan dan pertanyaan mengenai kesahihan syarikat itu.

E-mel dan panggilan telefon merupakan modus operandi syarikat itu untuk merekrut ahlinya.

Pengarah Eksekutif DSAM, Lawrence Cheah berkata aduan ini dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

"Malangnya, kekurangan bukti dalam bentuk hitam putih menjadikan ia sukar bagi pihak berkuasa untuk bertindak. Malah ada yang tidak bersedia untuk membuat aduan secara rasmi dan tampil memberi keterangan jika ia diheret ke mahkamah.

"Mereka yang menghubungi kami mengatakan mereka diminta melabur sejumlah wang bernilai RM20,000 atau lebih dengan jaminan pulangan lumayan dan dimaklumkan bahawa mereka akan dibayar sekiranya merekut ahli baharu.

"DSAM merupakan ahli Persekutuan Dunia Persatuan Jualan Langsung (WFDSA). Ahli kami mengamalkan kawalan kendiri berdasarkan kod diiktiraf di peringkat global dan Kod Etika - KPDNKK.

"Memandangkan syarikat itu bukan ahli kita, kita hanya boleh membantu kementerian dengan menghantar semula aduan yang diterima," katanya.

Cheah berkata 'starter kit' untuk syarikat yang sah biasanya di bawah RM200 dan memaksa ahli baharu untuk membeli saham atau melabur adalah salah di sisi undang-undang.

Mendapatkan bayaran untuk merekrut juga tidak dibenarkan.

"Ahli hanya boleh mendapat keuntungan daripada jualan dan komisen menerusi penjualan produk," katanya.

Presiden Persatuan Pengedar Langsung Malaysia (MDDA), Rosedy Issa mengesahkan syarikat itu mendapat lesen daripada kementerian dan juga ahli persatuan berkenaan.

"Kami menerima banyak pertanyaan mengenai sama ada syarikat ini sah di sisi undang-undang," katanya.

Beliau berkata lesen syarikat itu dikeluarkan pada 2013 dan akan tamat Ogos tahun ini.

Menurut Rosedy, selepas dimaklumkan Sunday Star, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menyemak dengan kementerian, MDDA dan DSAM sama ada syarikat itu benar-benar wujud sebelum menyertainya.

"Kami memandang serius aduan orang ramai kerana ia menjejaskan nama baik industri ini," katanya.

Kementerian itu dikatakan masih memantau syarikat tersebut walaupun siasatan baru-baru ini menunjukkan perniagaannya adalah sah.

Pada 20 April lalu, pihak berkuasa mendapati bahawa pelan pemasaran syarikat itu adalah selaras dengan syarat dan terma lesen.

Malah semua produk yang dipasarkan telah diluluskan, kata kementerian itu dalam satu reaksi balas menerusi e-mel.

"Bagaimanapun, syarikat itu masih dipantau. Pemeriksaan akan dijalankan apabila ia terpakai untuk memperbaharui lesennya yang akan tamat pada Ogos ini, "katanya.

Sehingga kini, tiada permohonan pembaharuan telah dikemukakan.

Sumber: mStar