POKOK SENA - Pengusaha madu kelulut bakal gulung tikar selepas industri itu dikatakan semakin terjejas pengeluarannya akibat diserang oleh lalat soldadu hitam sejak akhir-akhir ini.
Pengusaha, Ramli Abd Rahman berkata, serangan lalat itu bermula pada Februari lalu semasa berlakunya El Nino hingga banyak kelulut di ladangnya mati.
Menurutnya, sebelum ini seramai 361 pengusaha madu kelulut beroperasi dan turut membekalkan madu itu kepadanya untuk dipasarkan, bagaimanapun sejak perubahan cuaca, berlakunya serangan lalat itu menyebabkan hanya 16 sahaja masih beroperasi.
“Difahamkan lalat ini wujud dalam sarang kelulut lalu memakan propolis kelulut apabila kelulut berhijrah ke tempat lain ketika cuaca panas baru-baru ini.
"Ini secara langsung akan menyebabkan pengeluaran madu kelulut terjejas dengan teruk hingga semakin lumpuh," katanya yang kerugian kira-kira RM500,000.
Tidak cukup dengan serangan lalat, kini pengusaha kelulut turut berdepan masalah kumbang beebread yang turut mengancam pengeluaran madu kelulut.
"Setakat ini banyak propolis madu kelulut telah rosak dan menyebabkan pengusaha terpaksa membakar sarang kelulut itu.
"Kesan daripada serangan serangga ini, menyebabkan 400 sarang madu kelulut musnah dan kini hanya tinggal enam sahaja yang masih mengeluarkan madu kelulut," katanya.
Ramli berkata, dia terpaksa mencari sarang baru bagi membekalkan kepada pelanggan serta membekalkan produk hiliran dari madu kelulut.
“Saya yakin masalah ini bukan berlaku di kawasan ini sahaja tetapi di seluruh Kedah kerana pengeluaran madu kelulut pada hari ini terjejas teruk akibat peralihan cuaca baru-baru ini.
"Difahamkan cuaca yang lembap pada hari ini akan mengaktifkan lagi lalat itu membiak dan memakan propolis madu kelulut,” katanya yang menternak kelulut jenis Trigona Itama dan Trigona Thoratica.
Dia berharap ada agensi kerajaan dapat membantu bagi membuat kajian untuk menghapus atau mengurangkan serangga itu.
Sumber: Sinar Harian